Sampah e-waste, apa orang ramai perlu buat?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

E-WASTE kini telah menjadi masalah di seluruh dunia, semakin banyak barangan elektrik dan elektronik dihasilkan, maka jumlah untuk dibuang atau diuruskan juga makin meningkat.

Jika e-waste dibuang tanpa menggunapakai kaedah mesra alam seperti melepaskan ke sungai, tapak pelupusan, membakar secara sesuka hati atau diberikan kepada pihak yang tidak sepatutnya, ia sudah pasti membahayakan kehidupan, menjejaskan kesihatan serta menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar.

Di Malaysia, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk serta pendingin hawa.

Komponen di dalam e-waste mengandungi bahan-bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, berlium, serta pelbagai lagi yang akan meresap ke dalam bumi seterusnya mengamcam sumber air mahupun hidupan akuatik.

Ia juga mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium yang mempunyai nilai kitar semula yang tinggi.

Sisa-sisa ini jika dibiarkan dan terbakar, ia berpotensi mengeluarkan gas kimia berbahaya seperti Dioksin dan Furan.

Secara umumnya, lambakan sampah e-waste ini jika tidak terurus dengan baik, ia boleh memberi kesan kepada pencemaran alam.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, pencemaran ini perlu dicegah dengan pengguna atau orang ramai sebagai individu penjana buangan perlulah sedar dan bertanggungjawab untuk melupuskan e-waste ke peruncit, pengumpul berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan sahaja.

Orang awam disarankan untuk menghantar e-waste daripada isi rumah ke mana-mana pusat pengumpulan yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh JAS.

Selain itu, pihak berwajib juga perlu membuat operasi secara berterusan dalam menghapuskan kilang haram yang makin berleluasa menjalankan proses melerai dan melebur sampah elektronik atau e-waste sekali gus mencemarkan alam serta membahayakan penduduk di sekitarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!