Bunuh isteri hanya kerana minta semula duit RM13

Isteri hilang nyawa kerana wang RM13. Foto Agensi
Isteri hilang nyawa kerana wang RM13. Foto Agensi
A
A
A

ACHEH - Seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh isterinya semata-mata kerana wanita tersebut memintanya memulangkan semula wang Rp50 ribu (RM13) yang telah diambil daripada almari mangsa.

Mayat wanita terbabit ditemui kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan di sebuah kebun jagung di Desa Cingkam II, Kecamatan Lawe Alas pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Acheh Tenggara AKBP R Doni Sumarsono berkata, kejadian bermula pada jam 7.30 pagi waktu tempatan ketika pelaku dikenali sebagai R dipercayai telah mengambil duit simpanan wanita itu sehingga mangsa marah dan mahu menuntut semula wang itu.

Difahamkan suspek mahu menggunakan wang itu untuk membeli rokok dan mengisi minyak motosikalnya sebelum pergi bekerja di kebun jagung.

Sekembalinya suspek dari kebun untuk makan tengah hari dan solat Zuhur ke rumah mereka, tiada apa-apa perkara yang berlaku sebelum dia pergi semula ke tempat kerjanya.

Tidak lama selepas itu, wanita terbabit pergi ke kebun untuk bertanyakan kepada suaminya selepas menyedari duit yang disimpan di dalam almari telah hilang.

"Suaminya mengaku telah mengambil wang itu dan berjanji untuk menggantikannya semula keesokan harinya.

"Bagaimanapun berlaku pertengkaran antara mereka sebelum isterinya yang dikenali sebagai A bertindak memukul dan menggigit tangan suaminya," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Berang dengan tindakan wanita itu, suspek mencapai sebilah pisau yang terselit di dinding pondok sebelum menikam mangsa di bahagian dada.

Tidak terhenti di situ, suspek kemudian mengambil seketul batu lantas memukul kepala mangsa sebanyak dua kali sehingga dia tidak sedarkan diri.

Selepas menyedari mangsa tidak bernafas suspek kemudian menyerah diri di balai polis Lawe Alas.

Doni Sumarsono kemudian telah mengesahkan suspek kini ditahan di lokap.

"Suspek ditahan bersama barang bukti dua ketul batu dan sebilah pisau, dia kini sedang menunggu untuk dibicarakan," katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!