Australia bakal kuarantin rakyat pulang dari Wuhan di pulau terpencil
CANBERRA - Australia merancang menempatkan warganya yang dikeluarkan dari pusat wabak koronavirus di China untuk dikuarantin di sebuah pulau yang biasanya digunakan untuk menahan pencari suaka, menurut kertas cadangan didedahkan hari ini.
Perdana Menteri Scott Morrison berkata, rakyat Australia yang berisiko termasuk kanak-kanak dan warga emas serta pelawat ke Wuhan dan kawasan sekitar di Hubei akan diberi keutamaan dalam proses itu.
Pegawai berkata, hampir 600 rakyat Australia dikenal pasti berada di kawasan itu yang ditutup dalam usaha China mengekang penyebaran wabak.
Morrison berkata, Australia sedang bekerjasama dengan New Zealand dalam operasi itu dan akan meminta bantuan negara Pasifik lain untuk memindahkan rakyat mereka, tetapi keutamaannya sekarang adalah memastikan keselamatan rakyat Australia.
Tambahnya, mereka akan dikuarantin selama 14 hari di Pulau Krismas yang dikenali sebagai pusat tahanan pelarian yang cuba memasuki Australia menggunakan bot.
Setakat ini, lima orang sedang dirawat di Australia akibat koronavirus dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Tiada kes jangkitan manusia ke manusia dilaporkan di Australia. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!