Ulat arkitek, iklan tawar khidmat seni bina haram makin berleluasa - LAM

Lembaga Arkitek Malaysia
Lembaga Arkitek Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan ulat arkitek dan amalan haram oleh firma atau syarikat tidak berdaftar yang menawarkan khidmat seni bina dan reka bentuk dalaman didakwa wujud sejak sekian lama dan semakin membarah dalam industri.

Jika dahulu, iklan yang menawarkan khidmat ini terpampang di dada-dada surat khabar atau laman sesawang, namun hari ini, lambakan iklan sebegini tidak ubah seperti cendawan tumbuh selepas hujan di media sosial seperti TikTok dan platform e-dagang Shopee.

Senario ini, yang disifatkan trend baharu, diakui memeranjatkan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) - agensi di bawah Kementerian Kerja Raya - yang mengawal selia profesion yang didaftarkan di bawah Akta Arkitek 1967 (Akta 117), yang tidak pernah menjangkakan amalan haram ini boleh merebak sejauh itu.

"Iklan yang paling kita terkejut sekali apabila masuk ke dalam TikTok, Shopee, yang mendakwa boleh melaksanakan atau memberi khidmat sebagai arkitek, pereka bentuk hiasan dalaman, itu yang memeranjatkan, sebab kita tak pernah nak jangka di Malaysia ini, dia boleh pergi sampai ke situ. Jadi adakah amalan ini salah? Ya salah,” dedah Presiden LAM Datuk Ar Azman Md. Hashim dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Malah menerusi tinjauan rambang oleh Jawatankuasa Pengawasan dan Penguatkuasaan LAM, daripada ratusan iklan menawarkan khidmat berkenaan, hanya satu sahaja firma atau syarikat yang disahkan berdaftar dengan LAM, sekali gus menimbulkan kekhuatiran agensi itu sekiranya ramai lagi mangsa ditipu.

Namun berapa ramaikah daripada kita yang tahu lambakan pengiklanan sedemikian merupakan amalan haram dan bertentangan dengan Kod Etika Tatakelakuan arkitek profesional yang berdaftar dengan LAM?

KOD TATAKELAKUAN ARKITEK

LAM percaya kebanyakan pihak yang terlibat dalam kes penipuan itu adalah individu dan firma atau syarikat yang sudah teguh kedudukan dan menawarkan pakej menarik dengan tawaran harga yang mungkin jauh lebih rendah, antara lain, disebabkan turut menggunakan khidmat ulat arkitek untuk menjalankan kerja mereka.

Artikel Berkaitan:

Tawaran harga menarik inilah yang menjadi jerat kepada orang ramai yang kebanyakannya tidak tahu prosedur sebenar bagi mendirikan sesebuah binaan atau rumah, khususnya di atas tanah persendirian.

Azman berkata, berdasarkan Akta Arkitek 1967 [Akta 117], hanya yang berdaftar dengan LAM layak menawarkan dan memberikan perkhidmatan kesenibinaan termasuk perkhidmatan reka bentuk dan pelan bangunan.

Menurut beliau, arkitek atau pereka bentuk dalaman berdaftar ialah golongan profesional dikawal selia menerusi Kod Tatakelakuan di bawah Kaedah-Kaedah Arkitek 1996.

Antara kepentingan melantik arkitek profesional adalah untuk mengawal atau memantau pembayaran dan tuntutan kepada kontrakor mengikut prestasi, tahap kualiti dan kemajuan sesuatu projek, sekali gus mengelakkan daripada pengguna ditipu.

Para profesional ini juga bertindak sebagai perunding projek untuk mengawasi projek yang didirikan dari peringkat penyediaan pelan sehingga bangunan berkenaan sudah siap dibina dan dikeluarkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

"Amalan ini melibatkan keselamatan pihak awam. Oleh itu, hanya golongan yang berdaftar layak memberikan perkhidmatan berkenaan bagi mengelakkan dari berlakunya reka bentuk yang lebih rendah daripada yang dikehendaki atau ditetapkan, kegagalan mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT), kelemahan keselamatan seperti reka bentuk struktur, liabiliti undang-undang, projek terbengkalai dan risiko kehilangan kewangan,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan Kod Tatakelakuan sedia ada, terdapat tatacara bagaimana untuk membuat pengiklanan profesional seseorang arkitek itu dan pengiklanan di media sosial secara meluas bukanlah amalan biasa dilakukan arkitek profesional.

"Arkitek yang berdaftar dengan LAM biasanya tidak akan membuat pengiklanan menerusi media sosial. Kita tidak kata tidak boleh tetapi kita tidak galakkan dan secara profesionalnya mereka ini juga tidak akan buat begitu kerana kita ada portal LAM dan kita ada cara kita bagaimana orang ramai mahu dapatkan perkhidmatan kita dengan melayari portal ini.

"Berdasarkan Kod Tatakelakuan, memang kita ada etika yang perlu dipatuhi tetapi memandangkan pada ketika kod itu diperkenalkan, tidak ada kewujudan TikTok, Shopee dan sebagainya,” katanya.

Dari tahun 2016 hingga sekarang, LAM menerima sebanyak 94 aduan membabitkan amalan haram yang dilakukan oleh syarikat dan individu menerusi pengiklanan secara fizikal dan juga pelantikan terus oleh pelanggan serta lima aduan berhubung pengiklanan di media sosial.

SIAPA ULAT ARKITEK

LAM secara dasarnya mengawal selia profesion yang berdaftar di bawah Akta 117 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan pihak awam terjaga dengan setakat Jun, seramai 2,556 arkitek, 2,672 Arkitek Graduan dan 165 Perekabentuk Dalaman berdaftar dengan agensi itu.

Profesion yang didaftarkan LAM termasuklah Arkitek; Arkitek Graduan; Pelukis Pelan Bangunan; Perekabentuk Dalaman; Perekabentuk Dalaman Graduan; Inspektor Kerja dan Teknologis Senibina.

Azman berkata, kebiasaannya, kerja-kerja ulat arkitek ini dilakukan oleh arkitek graduan dan perekabentuk dalaman graduan yang tidak berdaftar dan tidak layak menjadi Orang Utama Yang Mengemukakan atau Submitting Person (SP) untuk membuat permohonan kelulusan merancang dan kelulusan pelan bangunan kepada PBT.

"Ulat arkitek ini tidak mempunyai gelaran "Ar” kerana belum lulus kesemua peperiksaan bahagian I, II dan III. Penglibatan mereka dengan cara sama ada syarikat kontraktor melantik mereka atau pengguna sendiri membuat pelantikan. Kedua-dua keadaan ini tujuannya hanya untuk memastikan kos atau bayaran pada ulat arkitek ini dikenakan pada kadar minimum sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada juga ulat arkitek mengambil tindakan bersekongkol dengan arkitek profesional bagi mendapatkan ‘kredibiliti’ mereka, misalnya, tandatangan untuk membuat permohonan kelulusan merancang dan kelulusan pelan bangunan kepada PBT.

Ulat arkitek ini, tambahnya, kemudian memberikan ganjaran kepada arkitek profesional bagi tujuan tersebut, satu amalan yang jelas salah di bawah kod tatakelakuan berkenaan.

PROJEK HARAM TIADA CCC

Azman yang berkecimpung dalam dunia seni bina sejak lebih 30 tahun lalu berkata, projek yang menggunakan khidmat ulat arkitek ini dikategorikan sebagai projek haram kerana tidak memperoleh kelulusan daripada PBT, iaitu kelulusan merancang dan kelulusan pelan bangunan.

"Apa pula kesannya bila projek rumah kita jadi projek haram? Kesannya, rumah tersebut tidak dapat dilindungi insurans, kualiti penyiapan tidak dapat ditentukan dan boleh merisikokan keselamatan pengguna manakala CCC juga tidak dapat dikeluarkan kerana tidak melalui prosedur yang betul.

"Ulat arkitek ini biasanya digunakan untuk mengaburi mata pengguna kononnya ada dokumen untuk pelan pembangunan telah dibuat sedangkan dokumen itu sendiri pun tidak sahih,” jelasnya.

Mengikut tatacara lama iaitu sebelum 2007, PBT merupakan pihak yang mengeluarkan Sijil Perakuan Kelayakan (CF) bagi menduduki sesuatu rumah atau bangunan.

Bagaimanapun selepas tahun tersebut, kerajaan memutuskan CF diganti kepada Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang hanya boleh dikeluarkan oleh profesional yang terdiri daripada Arkitek Profesional atau Pelukis Pelan Bangunan yang berdaftar dengan LAM serta Jurutera Profesional yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan merupakan PSP.

Menurut Azman, sesebuah projek, termasuk rumah persendirian, yang mendapat CCC menandakan projek tersebut disiapkan dengan sempurna mengikut spesifikasi dipersetujui, namun jika menggunakan khidmat ulat arkitek, tidak mungkin sesebuah projek itu akan mendapat CCC.

"Sebaik sahaja arkitek mengeluarkan CCC, barulah projek itu siap dengan baik dan sempurna, maknanya profesional memperakui projek berkenaan direka bentuk dan dibina mengikut spesifikasi, kualiti dan sebagainya yang telah ditentukan sebelum itu.

"Kalau satu-satu projek rumah itu mendapat CCC maknanya pengguna terlindung dengan undang-undang dan apa-apa yang berlaku selepas rumah diduduki, contohnya, runtuh dan sebagainya akan berbalik semua kepada arkitek. Sebab itu untuk keluarkan CCC selagi arkitek atau PSP tidak puas hati dengan keadaan kualiti reka bentuk, dia tidak akan keluarkan CCC, ini tidak mudah,” katanya.

ULAT ARKITEK BEBAS, TIADA UNDANG-UNDANG KEKANG KEGIATAN

Mana-mana arkitek profesional yang berdaftar dengan LAM, menurut Azman, boleh dikenakan tindakan tatatertib mahupun denda, sekiranya mereka melanggar Akta Arkitek 1967 termasuk sekiranya mereka bersekongkol dengan ulat arkitek.

"Salah satu peranan utama kita menjaga orang awam. Sekiranya berlaku apa-apa kita akan ambil tindakan terhadap ahli-ahli kita, sebab kita jaga orang awam, ini termaktub dalam Akta 117, kalau ahli melanggar tata etika arkitek, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi ahli LAM yang didapati melakukan kesalahan, LAM akan mengambil tindakan tegas bermula dengan surat amaran atau tindakan menggantung perkhidmatan mereka atau denda sewaktu tempoh penggantungan tersebut.

"Gantung perkhidmatan arkitek boleh jadi dari enam bulan hingga setahun dan paling tinggi sekali yang terbaharu ini ada arkitek profesional dikenakan denda sehingga RM100,000. Jadi mereka tidak boleh menjadi PSP.

"Jika mereka tidak bayar denda, keahlian yang perlu diperbaharui setiap tahun tidak boleh dibuat sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan perkhidmatan mereka...banyak kali juga kita mengenakan tindakan ke atas ahli kita atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Namun, berbeza situasinya dengan ulat arkitek dan dalam hal ini, Azman berkata, tindakan undang-undang seperti ini tidak boleh dikenakan kepada golongan ini kerana mereka tidak terikat dengan mana-mana perjanjian termasuk Perjanjian Kontrak Perkhidmatan (CSA) dan tidak dikawal oleh mana-mana badan.

"Kita tak ada siapa nak uruskan ulat arkitek ini, kalau kontraktor mereka dikawal oleh CIDB, tapi tidak boleh ambil tindakan pada ulat arkitek, tak ada siapa boleh jaga, tiada siapa boleh kawal, tak boleh ambil apa-apa tindakan tegas, setakat surat amaran.

"Yang tidak berdaftar ini biasanya tidak terikat dengan apa-apa perjanjian dan kalau ada sekalipun ianya tidak sah untuk dibawa ke mahkamah. Ini akan berbalik semula bagaimana anda sebagai pengguna berurusan dengan ulat arkitek, atas dasar apa dan mengikut cara apa,” tegas beliau.

Bagaimanapun, beliau menambah, pihaknya mempunyai Jawatankuasa Pengawasan dan Penguatkuasaan yang turut diwakili pegawai polis untuk memantau kegiatan tidak bertanggungjawab ini sekiranya ia diiklankan menerusi media sosial.

Menurut Azman, biasanya apabila ulat arkitek ini dapat dikesan, LAM akan menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disusuli dengan tindakan memberikan surat amaran kepada mereka untuk menghentikan kegiatan tersebut.

"Boleh dikatakan banyak juga surat amaran yang sudah kita keluarkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Mengakui terdapat kelompongan yang menyebabkan kegiatan ulat arkitek ini terus berleluasa selain ia merupakan trend baharu, Azman berkata, satu tindakan yang lebih ketat perlu diperkenalkan.

"Pndangan saya, kita kena ketat lagi kerana golongan ini memperjudikan keselamatan orang ramai bahkan mengakibatkan kerugian yang banyak jika tidak dibendung... kita mungkin tidak boleh wujudkan undang-undang baharu kerana ia akan makan masa yang panjang tetapi memadai jika ada arahan dari segi penguatkuasaan boleh diperkenalkan,” katanya.

RANGKA SISTEM PERJELAS PROSEDUR

Penerangan kepada orang ramai tentang cara dan prosedur sebenar untuk membina rumah di atas tanah sendiri perlu dilakukan dan kesedaran ini seharusnya dijalankan secara berterusan bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa.

Sehubungan itu, LAM sedang membangunkan satu sistem dengan kerjasama Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan Institut Perekabentuk Dalaman Malaysia (MIID) bagi menyediakan panduan kepada orang ramai untuk mengetahui tatacara sebenar dalam proses untuk membina atau mengubahsuai rumah sendiri.

"Sistem ini lebih kepada tatacara ataupun panduan sekiranya pihak awam berhasrat untuk melantik arkitek ataupun pereka bentuk dalaman dan bagaimana untuk mereka memgambil khidmat profesional yang berdaftar dengan LAM, selain penjelasan mengenai prosedur yang betul untuk membina rumah.

"Kita mahu galakkan orang ramai melantik profesional yang berdaftar dan nak bantu mereka dapatkan perkhidmatan yang teratur bagi memastikan mereka terlindung dengan undang-undang. Setakat ini senarai arkitek dan pereka dalaman profesional memang dalam laman sesawang kita iaitu www.lam.gov.my,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama yang erat dengan PDRM juga memainkan peranan penting dalam memastikan LAM dapat bertindak selari dengan undang-undang.

"LAM juga sedang merancang serta meneliti beberapa cadangan tindakan sebagai langkah untuk mengatasi isu ini daripada berleluasa melalui beberapa Jawatankuasa ini termasuklah sesi libat urus dengan agensi berkaitan termasuklah PDRM.

"Masyarakat awam dinasihatkan supaya menghubungi LAM ataupun melapor kepada PDRM sekiranya telah melantik syarikat-syarikat ataupun individu sebegini untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!