Hukum hasilkan AI imej orang meninggal dunia harus untuk tujuan dakwah

Poster dimuat naik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Facebook pada Isnin.
Poster dimuat naik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Facebook pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Hukum menghasilkan imej orang yang sudah meninggal dunia menggunakan aplikasi Generative Artificial Intelligence (GenAI) adalah harus sekiranya ia digunakan untuk tujuan berdakwah atau aktiviti pembelajaran.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, memetik irsyad hukum siri ke-861, ia sama seperti menghasilkan lukisan dan gambar tidak lengkap yang menampakkan hanya sebahagian anggota seperti kepala manusia atau haiwan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, gambar tersebut perlu menepati syarat seperti tidak sempurna tubuh badan, tidak boleh mempamerkan aurat atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak, tidak mengaibkan dan tidak menjadikan gambar si mati bergerak-gerak kerana dikhuatiri menjatuhkan maruah.

"Hukum melukis gambar sama ada orang yang hidup atau meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab munasabah hukumnya adalah haram menurut majoriti ulama.

"Namun, penggunaan menghasilkan imej digital untuk tujuan kemaslahatan atau keperluan seperti berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

GenAI adalah salah satu cabang daripada kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menghasilkan konten berdasarkan teks, gambar, suara, animasi dan model tiga dimensi (3D) serta mendapat tempat dalam kalangan pencipta karya digital khususnya pelukis grafik atau fotografer.

Namun, akhir-akhir ini, timbul pelbagai aplikasi menggunakan teknologi AI yang mampu menganimasikan foto si mati dan dimuat naik seolah-olah kelihatan hidup sebagai alternatif untuk ‘melepaskan’ rindu.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi yang ada.

"Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!