MARANG - Seorang pemuda dibelasah selepas dituduh berkelakuan tidak senonoh bersama teman wanitanya di dalam sebuah kereta, di Kampung Binjai Rendah, Bukit Payong di sini malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 23 tahun bersama teman wanitanya, 22, berada di tempat tersebut kerana sedang membasuh baju di sebuah kedai dobi layan diri. Menurut sumber, difahamkan pasangan itu duduk dalam kereta sementara menunggu baju siap dibasuh sebelum didatangi dua lelaki. "Beberapa minit kemudian, mereka dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali sebelum menuduh pasangan itu melakukan perbuatan tidak senonoh. "Meskipun mangsa menafikannya beberapa kali, namun kedua-dua suspek terus bertindak keras dengan memukul mangsa bertubi-tubi di muka dan seluruh anggota badan. "Akibat tindakan itu, mangsa mengalami luka di kedua-dua bahagian mata selain mengalami kesakitan di seluruh anggota badan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini. Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa. "Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga setahun atau didenda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.