Keputusan representasi Adam belum siap, keputusan 4 September

Adam Radlan
Adam Radlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa keputusan representasi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa belum diperolehi.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Suzana Hussin, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, keputusan berhubung permohonan yang dikemukakan pembelaan bagi pihak Adam Radlan Adam Muhammad, 43, belum dimuktamadkan.

Menurutnya, pendakwaan menerima tarikh baharu untuk status berkenaan diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), pada 28 Ogos ini.

"Atas alasan berkenaan, saya mohon budi bicara mahkamah untuk menetapkan tarikh baharu bagi keputusan representasi terbabit.

"Susulan itu, saya juga berhasrat, mahkamah dapat menangguhkan prosiding perbicaraan yang ditetapkan esok," katanya.

Mendengar perkara itu, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili pemimpin Bersatu itu tidak membantah cadangan yang dibuat pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan kes untuk status representasi itu pada 4 September depan.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.

Artikel Berkaitan:

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan didakwa menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada pengarah syarikat Metrasys, Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!