Monopoli carian dalam talian Google tidak sah - Hakim AS
SEORANG hakim Amerika Syarikat (AS) memutuskan Google bertindak secara tidak sah dari sisi perundangan untuk menghancurkan persaingan dan mengekalkan monopoli ke atas carian dalam talian dan pengiklanan.
Keputusan penting yang dibuat pada Isnin merupakan tamparan hebat kepada Alphabet iaitu syarikat induk Google dan berupaya mengubah pendekatan syarikat teknologi besar menjalankan operasi perniagaan.
Google telah disaman oleh Jabatan Kehakiman AS pada tahun 2020 kerana menguasai kira-kira 90 peratus pasaran carian dalam talian. Ia merupakan satu daripada beberapa tuntutan mahkamah yang telah difailkan terhadap syarikat teknologi besar ketika pihak berkuasa antimonopoli AS berusaha untuk mengukuhkan persaingan dalam industri ini.
Kes ini ada ketika digambarkan sebagai ancaman eksistensial kepada Google dan pemiliknya kerana dominasi mereka dalam perniagaan carian dan pengiklanan dalam talian.
Masih belum jelas apakah penalti yang akan dihadapi oleh Google dan Alphabet susulan penghakiman ini.
Denda atau remedi lain akan diputuskan dalam sesi pendengaran akan datang.
Kerajaan telah meminta "kelegaan struktur" - yang secara teori sekurang-kurangnya, boleh bermakna pemecahan syarikat tersebut.
Dalam keputusannya, Hakim Daerah AS, Amit Mehta berkata, Google telah membayar berbilion dolar untuk memastikan ia merupakan tetapan enjin carian yang secara automatik berfungsi pada telefon pintar dan pelayar.
"Google adalah monopolist dan ia bertindak sebagai satu-satunya (enjin carian) untuk mengekalkan monopolinya," tulis Hakim Mehta dalam penghakimannya setebal 277 halaman.
Alphabet dilaporkan merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
"Keputusan (mahkamah) ini mengakui bahawa Google menawarkan enjin carian terbaik, tetapi menyimpulkan bahawa kami tidak sepatutnya dibenarkan untuk membuatnya mudah didapati," kata Google dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Peguam Negara AS, Merrick Garland memuji keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai "kemenangan bersejarah untuk rakyat Amerika."
"Tiada syarikat tidak kira sebesar atau berpengaruh yang berada di atas undang-undang," kata Garland dalam satu kenyataan pada Isnin.
"Jabatan Kehakiman akan terus menguatkuasakan undang-undang antimonopoli kami dengan tegas."
Pengawal selia antimonopoli Persekutuan telah memfailkan tuntutan mahkamah lain yang sedang berjalan terhadap syarikat-syarikat teknologi besar termasuk Meta Platforms Inc yang memiliki Facebook, Amazon.com dan Apple Inc - menuduh mereka mengendalikan monopoli yang tidak sah.
Kes berkenaan mengambil masa perbicaraan selama 10 minggu di Washington DC.
Pendakwaraya menuduh Google membelanjakan berbilion dolar setiap tahun kepada Apple, Samsung, Mozilla dan lain-lain untuk dipasang sebagai tetapan enjin carian otomatik di pelbagai platform.
AS berkata, Google biasanya membayar lebih daripada AS$10 bilion (£7.8 bilion) setahun untuk memperoleh keistimewaan itu sekali gus memastikan aksesnya kepada aliran data pengguna yang mantap yang membantu mengekalkan pegangannya di pasaran.
Melakukan tindakan demikian, kata pendakwa, bermakna syarikat lain tidak mempunyai peluang atau sumber untuk bersaing dengan bermakna.
Enjin carian Google merupakan sumber pendapatan besar untuk syarikat itu yang membawa masuk berbilion dolar hasil daripada pengiklanan yang dipaparkan di halaman pencariannya.
Peguam Google mempertahankan syarikat itu dengan mengatakan pengguna tertarik kepada enjin carian itu kerana mendapati ia berguna dan Google juga membuat pelaburan untuk menjadikannya lebih baik untuk pengguna.
"Google menang kerana ia lebih baik," kata peguam Google, John Schmidtlein dalam hujahnya semasa pendengaran pada awal tahun ini.
Schmidtlein juga berhujah semasa perbicaraan bahawa Google masih menghadapi persaingan sengit, bukan hanya dari firma enjin carian umum, seperti Bing dari Microsoft, tetapi laman web dan aplikasi yang lebih khusus yang digunakan orang untuk mencari restoran, penerbangan udara dan lebih banyak lagi.
Dalam keputusannya, Hakim Mehta menyimpulkan, Google sebagai enjin carian automatik merupakan "hartanah yang sangat berharga" untuk syarikat itu.
"Meskipun jika seorang pendatang baharu berada dalam kedudukan dari segi kualiti untuk membida sebagai enjin carian automatik apabila perjanjian tamat, firma tersebut hanya dapat bersaing jika ia bersedia untuk membayar rakan kongsi melebihi berbilion dolar dalam perkongsian hasil," tulis Hakim Mehta.
Kes lain terhadap syarikat teknologi berkenaan mengenai teknologi pengiklanannya dijangka dibicarakan pada September depan.
Sementara itu, di Eropah, Google telah dikenakan denda berbilion dolar dalam kes monopoli. - Agensi/Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!