Penyelarasan gaji: PM mahu penjawat awam beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mahu semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik kepada rakyat selari dengan pelarasan gaji yang akan diumumkan kerajaan.
Beliau berkata, ada dua sebab mengapa pelarasan itu melibatkan kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah negara sejak merdeka.
"Pertama (kerana) negara (terus) membangun - tapi selama 12 tahun tak ada kajian menyeluruh kenaikan gaji, dan kedua mengiktiraf peranan mereka (penjawat awam),” katanya semasa berucap di Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani di Bandar Sri Permaisuri di sini pada Selasa.
"Walaupun ada suara bangkang yang tak pernah kenal erti syukur dan tak pernah nak terima kenyataan, tapi percayalah apabila saya umumkan nanti, sebahagiannya bulan Ogos dan lengkapnya seperti mana yang saya janjikan pada bulan Oktober (iaitu pada) Belanjawan Negara, (pelarasan) dilaksanakan mulai 1 Disember,” tambahnya.
Majlis peluncuran itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan Anwar semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Perdana Menteri berkata, penjawat awam juga perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam membangunkan negara.
"Dalam negara Madani ini kita kena pastikan ekonomi mampan dan Alhamdulillah seperti mana yang dilaporkan, kekuatan ringgit yang menjadi masalah kepada kita itu, kembali dengan meyakinkan. Prestasi (pergerakan) ringgit hari ini terbaik ketimbang 14 tahun lepas.
"Asasnya apa? Negara tentunya kerana politik yang stabil, dasarnya jelas, penjawat awam berdedikasi, pegawai sektor swasta... ini semua mempunyai peranan untuk menjayakannya," katanya.
Pada 2 Ogos, ringgit berada pada 4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutupan.
Ia meningkat 1.6 peratus berbanding dolar US selepas mencatatkan kenaikan selama 10 hari berturut-turut, prestasi terbaik dicatatkan sejak 2010. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!