Sebutir nasi sejuta keringat
Tanggal 6 Ogos, Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah mengisytiharkan secara rasmi tarikh tersebut sebagai Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dan ia kekal diingati sehingga hari ini.
HPPNK yang disambut saban tahun merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap jerit perih dan pengorbanan mereka bukan sahaja memastikan makanan yang berkualiti sampai ke meja makan setiap rakyat Malaysia malahan mewujudkan kekukuhan ekonomi negara.
Ketidakjaminan makanan akan menggoyahkan hak asasi manusia dan menjadi masalah kesihatan, pemakanan dan pembangunan sejagat.
Dalam kita berdepan dengan cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidakstabilan pasaran atau geopolitik, peladang, penternak dan nelayan seharusnya terus bersama-sama membangunkan inovasi dan mengadaptasi teknologi terkini dalam Amalan Pertanian Pintar bagi memastikan industri pertanian kekal relevan dan kompetitif.
Menurut Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), keberanian dan kesungguhan mereka dalam menghadapi cabaran tersebut amatlah dihargai dan akan sentiasa dikenang.
“Penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian seperti penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT), Global Positioning System (GPS), kecerdasan buatan (AI), robotik dan dron dapat membantu para petani meningkatkan daya tahan bagi menghadapi bencana alam dan pandemik.
“Pertambahan pendapatan per kapita dan pertumbuhan ekonomi yang tinggi memacu kepada perubahan corak permintaan bahan-bahan makanan dan penekanan kepada aspek kualiti dan pengenalan akan menjadi bertambah penting,” jelas LPP menerusi satu kenyataan.
Dengan corak pemakanan yang berbeza, rakyat Malaysia membelanjakan ke atas bahan-bahan makanan yang lebih menarik dan bermutu seperti yang mengandungi banyak protein dan sebagainya.
Menurut LPP, ini secara langsung akan menentukan corak bekalan makanan dan cara pemasaran yang perlu diwujudkan dalam negara.
Penggunaan perkapita untuk daging, buah-buahan dan sayuran dijangka akan terus meningkat.
Ini bermakna bahawa bukan sahaja bekalan makanan tersebut perlu disesuaikan kepada permintaan, bahkan jumlah pengeluarannya perlu ditingkatkan selaras dengan daya belanja yang meningkat dan jangkaan pertumbuhan penduduk.
Dalam masa yang sama, bekalan-bekalan input perlu ditingkatkan seperti bahan-bahan pemakanan kepada industri ternakan iaitu jagung bijirin, kacang soya dan sebagainya.
Perubahan dalam amalan pertanian
Menurut LPP, perubahan-perubahan struktur dalam sektor pertanian memerlukan pengorbanan yang besar daripada peladang, penternak dan nelayan.
“Untuk mencapai kejayaan, sektor agro makanan harus peka, bersedia menerima dan membuat perubahan dalam amalan pertanian. Ia termasuklah penggunaan teknologi baharu, mengkomersialkan penggunaan tanah, pengurusan ladang secara moden dan sistematik.
“Para peladang, penternak dan nelayan harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih dalam merebut peluang-peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.
“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus terbuka kepada idea dan maklumat-maklumat yang baru dan mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan masa,” jelas LPP.
Ekosistem pertanian lestari
Seorang peladang, penternak dan nelayan seharusnya serba mengetahui atau apabila negara mencapai kemajuan, mereka juga turut sama menikmati kemudahan dan kemakmuran dari pelbagai aspek penghidupan mereka.
Peladang, penternak dan nelayan sewajarnya bersama-sama membangunkan ekosistem pertanian yang lestari dan mampan.
Menerusi pengenalan teknologi hijau dan amalan pertanian moden, kita dapat meningkatkan hasil pertanian di samping menjaga alam sekitar seterusnya memberi manfaat sekali gus diwarisi oleh generasi akan datang.
Dengan adanya komitmen dan kerjasama semua pihak, kita yakin negara akan dapat mencapai matlamat keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara yang lebih kompetitif, berdaya saing dan lestari di peringkat domestik dan antarabangsa.
Terima kasih atas segala usaha dan jerih perih pengorbanan anda. Anda adalah pahlawan yang tidak didendangkan dan hari ini anda adalah wira dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Semoga peladang, penternak dan nelayan terus menerajui kecemerlangan dalam agenda ‘Keterjaminan Makanan Negara Untuk Masa Depan’.
Selamat Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan Kali Ke-49 tahun 2024.
INFO
6 OGOS 1975
- Telah diisytiharkan oleh Tun Abdul Razak Hussein sebagai Hari Peladang
TAHUN 1983
- Pada tahun 1983 Hari Peladang telah ditukar menjadi Hari Peladang dan Nelayan
TAHUN 1988
- Pada tahun 1988 dengan penyertaan penternak, perayaan tarikh 6 Ogos menjadi Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) sehingga kini.
TAHUN 2000
-Pada tahun 2000, sambutan 6 Ogos telah dipertingkatkan dengan penyertaan sektor swasta dan pameran bertaraf dunia di mana HPPNK telah digabungkan dengan MAHA.
- Pertunjukan MAHA pada asalnya wujud tahun 1922, kemudiannya dihidupkan kembali pada tahun 1999 dan kini nama singkatannya adalah pameran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA).
- Bermula dari tahun 2000, pertunjukan MAHA diadakan dua tahun sekali dan HPPNK juga disambut dengan pameran antarabangsa MAHA.
SAMBUTAN TARIKH KERAMAT
- Saban tahun sambutan tarikh keramat disambut secara besar-besaran dengan menganjurkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di peringkat negeri diseluruh negara dan akan berakhir di peringkat kebangsaan yang biasa disambut pada bulan November.
HARI PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN KEBANGSAAN
- HPPNK disambut dwitahunan secara besar-besaran, namun di peringkat negeri setiap tahun disambut.
- Terdapat 13 Anugerah HPPNK yang di berikan bagi mengiktiraf sumbangan peladang, penternak dan nelayan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!