Empat burung spesies dilindungi dirampas
SIMPANG AMPAT - Seorang lelaki diberkas di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, di sini, kerana memiliki spesies burung yang dilindungi, pada Ahad.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, kegiatan itu dikesan Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Satu Pulau Pinang bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang.
Menurutnya, Op Bersepadu Khazanah kira-kira jam 9 malam itu telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.
"Pasukan operasi telah merampas empat ekor burung disyaki spesies Rose Ring Parakeet dan Green Cheeked Conue.
"Turut dirampas ialah tiga sangkar burung dan dua telefon bimbit disyaki diguna untuk urusan jual beli," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,000.
Tambahnya, soal siasat awal suspek mengaku rampasan terbabit adalah miliknya.
"Suspek dan kesemua rampasan telah dibawa balik ke Pejabat Perhilitan Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!