Sasar lebih 5,000 kanak-kanak terima vaksin polio di Kunak
KUNAK - Pejabat Kesihatan Kunak menyasarkan 5,736 kanak-kanak berumur bawah lima tahun iaitu warganegara dan bukan warganegara menerima imunisasi polio secara percuma pada Januari sehingga Mac ini.
Pegawai Perubatan Kawalan Penyakit Berjangkit di Kunak, Dr Izaidi Salman Yazid berkata, kempen imunisasi secara besar-besaran itu bagi membendung penularan penyakit polio di Sabah dan amnya Malaysia.
"Setakat semalam, 25 peratus daripada jumlah sasaran sudah mendapatkan vaksin polio sejak kempen itu diadakan di daerah ini bermula 22 Januari lalu sehingga 21 Februari ini bagi fasa pertama.
"Kemudian diikuti fasa kedua pada 22 Februari hingga 21 Mac iaitu kanak-kanak sama akan diberikan satu dos vaksin lagi," katanya pada majlis kempen imunisasi polio Sabah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Izaidi berkata, ibu bapa yang terlepas membawa anak mereka mendapatkan imunisasi polio pada hari ini boleh terus ke Hospital Kunak, Klinik Ibu dan Anak 1 dan 2, Klinik Desa Madai serta Klinik Desa Lormalong.
Katanya, pada kebiasaan kanak-kanak tidak menunjukkan simptom polio tetapi bermula dengan demam, batuk dan lebih drastik lumpuh iaitu selepas kaki atau tangan kebas.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif berkata, masyarakat perlu mengamalkan penjagaan kesihatan dengan mencuci tangan menggunakan sabun.
"Hal ini kerana polio boleh berjangkit melalui makanan atau minuman yang disentuh tangan tercemar najis atau benda mainan yang terkena najis," katanya.
Beliau turut mengingatkan penduduk Kunak agar menjaga kebersihan persekitaran dengan tidak membuang sampah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!