Lima ditahan kes rasuah kontrak pembersihan kapal tangki RM15.3 juta
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu disyaki terlibat dalam rasuah bagi mendapatkan kontrak pembersihan kapal tangki minyak berjumlah RM15.3 juta tiga tahun lalu.
Menurut sumber, penahanan individu terdiri daripada seorang pengurus anak syarikat minyak dan gas, dua bekas kakitangan syarikat berkenaan serta dua kontraktor itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada Isnin.
"Mereka ditahan selepas hadir memberi keterangan kira-kira jam 8 malam.
"Kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 30 hingga 63 tahun," katanya pada Selasa.
Tambah sumber, Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan pengurus bersama dua bekas kakitangan syarikat itu direman selama lima hari, manakala dua kontraktor tersebut direman selama tiga hari bermula Selasa.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!