Rokok, daging khinzir sejuk beku seludup lebih RM1.12 juta dirampas

Mohd Asri menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar negeri ini pada 16 dan 22 Julai lalu.
Mohd Asri menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar negeri ini pada 16 dan 22 Julai lalu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mengagalkan cubaan mengedar rokok dan daging khinzir sejuk beku seludup dianggarkan bernilai lebih RM1.12 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di sekitar negeri ini dan Gerik, Perak, Julai lalu.

Dalam serbuan antara 16 hingga 22 Julai itu, tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, turut dirampas dua lori dan sebuah kereta persendirian yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan lebih RM1.47 juta.

"Serbuan pertama dilakukan 16 Julai lalu membawa kepada penemuan 1.26 juta batang rokok anggarkan bernilai RM942,480 termasuk cukai dalam sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan di Taman Sri Mahkota di sini.

"Dalam serbuan itu, tiada tangkapan dilakukan bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik lori dan rangkaian sindiket pengedaran rokok-rokok tidak bercukai yang terlibat untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mohd Asri menunjukkan gambar lori membawa daging khinzir sejuk beku yang dirampas di KM131, Laluan Jeli- Gerik, Gerik, Perak,17 Julai lalu.
Mohd Asri menunjukkan gambar lori membawa daging khinzir sejuk beku yang dirampas di KM131, Laluan Jeli- Gerik, Gerik, Perak,17 Julai lalu.

Mohd Asri berkata, rampasan daging khinzir sejuk beku pula dilakukan 17 Julai lalu hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kilometer (KM) 131, Laluan Jeli- Gerik, Gerik, Perak.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan, pasukan penguat kuasa JKDM Pahang menemui 150 keping daging khinzir seberat 6,750 kilogram yang disyaki tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran Satu (1), Bahagian Satu (1), Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Ia berikutan pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan pengimportan dan permit mengangkut daging khinzir sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM135,000," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu mencecah RM385,000 termasuk lori manakala dua lelaki telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu katanya, dalam kes berasingan, penguat kuasa JKDM Stesen Kuantan, Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok seludup yang ditemui dalam kereta dipandu seorang lelaki di KM129, Lebuhraya Segamat - Kuantan, Muadzam Shah, 22 Julai lalu.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 53,100 batang rokok dengan anggaran nilai RM5,617 membabitkan duti dan cukai dianggarkan lebih RM45,607 manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kereta mencecah RM61,224.

"Dalam serbuan itu, pemandu kereta seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an telah ditan unruk siasatan lanjut," jelasnya.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam1967 dan Seksyen 135(1)(d) akta yang sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!