Cuti bersalin 90 hari dikembalikan kepada doktor

Dr Dzulkefly (tengah) pada sidang akhbar Majlis Pengukuhan 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan, di Putrajaya pada Selasa.
Dr Dzulkefly (tengah) pada sidang akhbar Majlis Pengukuhan 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan, di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Cuti bersalin yang sebelum ini dihadkan kepada 60 hari terhadap pegawai perubatan telah dikembalikan kepada 90 hari, seperti diperuntukkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, isu berkaitan yang dibangkitan telah diselesaikan sepenuhnya.

"Kementerian sedar bahawa cuti bersalin sangat penting dan perkara ini telah diselesaikan dengan pegawai perubatan diberi lanjutan 90 hari," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pengukuhan 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan, di sini pada Selasa.

Sebagai langkah penyelesaian terhadap kekurangan sumber manusia ketika doktor lain sedang cuti bersalin, beliau berkata, kementerian akan melakukan mobilisasi pegawai perubatan.

"Doktor dari daerah yang sama akan dimobilisasi ke klinik yang memerlukan bagi tempoh tersebut.

"Agak malang perkara ini berlaku dan insya-ALLAH ke depan kita akan memastikan (perkara ini tidak berulang).

"Kita adalah kementerian yang seharusnya menunjukkan yang seharusnya menunjukkan empati dan belas kasihan kepada kakitangan," jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat mengehadkan cuti bersalin kepada 60 hari untuk semua pegawai perubatan di klinik kesihatan awam sejak 27 Jun sebagai langkah mengatasi kekurangan doktor.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari telah dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah berkenaan.

Keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan telah cuti bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai lepas.

Sementara itu, pada perkembangan berbeza, Dzulkefly menjelaskan dakwaan sistem pengawasan Hospital Sungai Buloh tidak selamat dan boleh mendedahkan pesakit yang tidak berpakaian telah diselesaikan.

"Saya tidak perlu komen lagi. Ia selesai," katanya.

Khamis minggu lalu, portal berita melaporkan beberapa kakitangan hospital mendakwa akan membunyikan penggera pada sistem pengawasan di unit trauma jabatan kecemasan ketika kakitangan perubatan melakukan prosedur menyelamatkan nyawa pesakit.

Dalam keadaan sedemikian, pakaian pesakit ditanggalkan dan ia boleh dilihat oleh kakitangan tidak berkaitan termasuk pesakit lain menerusi monitor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!