Tun Md Raus dilantik Ahli Lembaga Pengarah Sedania baharu

Tun Md Raus Sharif. Foto Bernama
Tun Md Raus Sharif. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sedania Innovator Berhad (Sedania) berkuat kuasa 2 Ogos lalu.

Pengerusi Sedania, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, pihaknya mengalu-alukan Md Raus ke lembaga pengarahnya.

Menurut beliau, pengalaman kehakiman yang luas, perkhidmatan cemerlang dan kepimpinan akan menjadi tunjang kepada syarikat pemegang pelaburan itu, terutamanya dalam perlaksanaan inisiatif strategiknya.

“Kepakaran Tun bukan sahaja akan mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap tadbir urus yang baik, tetapi juga membantu mendorong syarikat ke arah pertumbuhan dan kejayaan yang lebih cemerlang dalam tahun-tahun yang akan datang.

“Suatu penghormatan bagi kami untuk melantik Tun Raus, seorang ahli terkemuka dalam bidang undang-undang dan kehakiman di Malaysia sebagai ahli lembaga pengarah kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor pula berkata, perlantikan itu adalah detik penting bagi syarikat berkenaan.

Jelasnya, kepakaran undang-undang dan kualiti kepimpinan Md Raus yang mendalam akan menjadi asas dalam membentuk hala tuju strategik dan memastikan syarikat itu terus cemerlang dalam komitmen mereka terhadap inovasi dan kelestarian.

“Kami amat teruja dengan kehadiran Tun Raus di dalam lembaga pengarah kami dan yakin bahawa sumbangan Tun akan mengukuhkan lagi perjalanan dalam mencapai matlamat jangka panjang kami,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tun Md Raus membawa bersama beliau kerjaya yang cemerlang dalam kehakiman dan perkhidmatan undang-undang Malaysia, bermula pada tahun 1976.

Beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam kehakiman Malaysia termasuk Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-Undang kepada beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Dalam Negeri.

Md Raus mencapai puncak kerjayanya apabila beliau memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia yang ke-14 pada 1 April 2017.

Di peringkat antarabangsa, beliau diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Seumpamanya serta menjadi ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!