Zii Jia kena fokus satu demi satu - Rashid Sidek
PEMAIN perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia dinasihatkan untuk fokus satu demi satu kejohanan terdekat terlebih dahulu sebelum cuba merebut emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata, walaupun impian tinggi Zii Jia memberi petanda positif setelah menyumbang gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 semalam, namun apa yang penting bagi pemain keenam dunia itu adalah terus berusaha memperbaiki prestasi serta kekuatan mentalnya menjelang LA2028.
Beliau berkata, Zii Jia juga perlu cuba untuk merangkul seberapa banyak kejohanan yang boleh, termasuk muncul sebagai juara dunia selain menduduki ranking nombor satu dunia sebelum meneruskan misi emas dalam masa empat tahun lagi di pentas Olimpik.
"Dalam masa empat tahun apa-apa boleh jadi. Paling penting jaga tubuh badan kerana sebagai ahli sukan, jika keadaannya sihat, boleh berlatih dengan bagus dan berkualiti, sekali gus dapat memberi prestasi terbaik (mana-mana kejohanan).
"JIka ada pertandingan, dapatkan kejuaraan dahulu, jangan fikir terlalu jauh sebaliknya langkah demi langkah. Jika terlalu jauh, tak guna juga kerana dikhuatiri mampu tambahkan tekanan,” katanya kepada Bernama.
Di sebalik keinginan Zii Jia menjuarai Sukan Olimpik, Rashid pada masa sama berkata, pemain berusia 26 tahun itu perlu berwaspada dengan pencabar lain termasuk pemain-pemain baharu yang mampu memberi ancaman kepadanya di LA2028.
Semalam, Zii Jia menjadi atlet Malaysia ketiga untuk menang pingat Olimpik badminton perseorangan lelaki selepas Rashid menang gangsa di Atlanta 1996, dan tiga pingat perak Datuk Lee Chong Wei di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
Pemain kelahiran Kedah itu berjaya kembali untuk menang selepas tewas set pertama kepada Lakshya Sen dari India, 13-21, 21-16, 21-11 dan membawa pulang pingat gangsa selepas tewas kepada Chen Long dari China di pusingan 16 terakhir pada penampilan sulungnya di Tokyo 2020.
Ahad lepas, beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat pertama bagi Malaysia di Paris 2024 apabila bangkit menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.
Dalam pada itu, Rashid menyifatkan pencapaian kem badminton negara yang menyumbang dua gangsa termasuk dari Zii Jia begitu berharga buat kontinjen negara dan rakyat Malaysia.
"Pencapaian Zii Jia dapat pingat sudah bagus, walaupun harap dia dapat emas, tapi bukan senang. Gangsa lebih baik dari tiada langsung,” katanya.
Sementara itu, Chong Wei menerusi hantaran Facebook mengucapkan tahniah dan berbangga dengan kejayaan dilakar Zii Jia di Porte de La Chapelle Arena.
Bekas pemain nombor satu dunia itu juga mengakui tidak sabar untuk melihat cabaran yang bakal ditempuhi juara Kejohanan Badminton Asia 2022 pada edisi seterusnya di LA2028.
"Bukan senang untuk memikul tanggungjawab sebagai permain perseorangan nombor satu negara. Saya berharap dia akan terus maju dengan tekanan ini dan membawa pulang emas empat tahun lagi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!