Malaysia terdedah kemelesetan ekonomi AS, China
SHAH ALAM - Kebergantungan Malaysia kepada eksport terutamanya kepada Amerika Syarikat (AS) dan China membuatkan negara amat terdedah kepada kemelesetan ekonomi di kedua-dua kuasa besar itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia (Kewangan dan Ekonomi), Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, kemerosotan pasaran global pada Isnin misalnya, dicetuskan oleh gabungan faktor termasuk laporan statistik buruh AS yang lebih lemah daripada jangkaan.
Selain itu, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, telah mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi negara berkenaan.
“Lebih membimbangkan, keputusan China memotong kadar faedah pada bulan lalu melambangkan kelembapan ekonomi di negara tersebut.
“Saya khuatir kebergantungan kita membuatkan Malaysia amat terdedah dan pastinya menimbulkan cabaran besar kepada negara.
“Prestasi ekonomi yang perlahan akan turut menjejaskan pendapatan negara. Sebarang usaha untuk mengukuhkan kedudukan fiskal mesti dilaksanakan segera tanpa memberikan impak yang ketara terhadap kos sara hidup rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook di Selasa.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan II berkata, kerajaan mesti bertindak untuk mengurangkan kesan terhadap ekonomi domestik.
Justeru, Mohd Shahar mencadangkan agar kerajaan mempelbagaikan destinasi pasaran eksport terutama barangan bernilai tinggi yang sumbernya adalah hasil dalam negara dan menggalakkan penggunaan domestik adalah langkah penting.
“Saya berharap, kita dapat memanfaatkan kedudukan sebagai Pengerusi Persidangan ASEAN pada tahun hadapan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik di samping merencana kerjasama ekonomi yang lebih kukuh.
“Walau bagaimanapun, landskap ekonomi global adalah sangat dinamik. Malaysia mesti bersedia menghadapi krisis ekonomi luar jangka.
“Adalah penting bagi kerajaan untuk memantau dengan teliti perkembangan ekonomi global dan melaksanakan langkah-langkah tepat pada masanya untuk menjaga kestabilan ekonomi negara,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!