Ibu dan anak antara ditahan terbabit sindiket edar dadah

M Kumar menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
M Kumar menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ibu dan anak serta pasangan kekasih antara lima yang ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah menerusi tiga serbuan di daerah ini, pada 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan pada jam 12 tengah malam di rumah teres itu dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Menurut beliau, sindiket itu menjadikan rumah teres sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

"Dalam serbuan tersebut, tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 28 sehingga 59 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah iaitu 10,920 gram serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM1,823,640.

"Selain itu turut dirampas 95 gram ketamin (RM19,000), 3.45 gram syabu (RM379), 24.12 gram pil ekstasi (RM3,200) dan 155 gram pil erimin 5 (RM10,800).

"Dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 37,496 penagih," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita empat kenderaan bernilai RM371,000, sebuah motosikal (RM8,500), wang tunai RM75,506, mata wang asing (RM2,783), pelbagai barangan kemas (RM52,735) dan seutas jam tangan mewah (RM20,000).

Kumar memberitahu, nilai rampasan dadah berjumlah RM1,857,019 serta nilai sitaan RM531,316 manakala jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan RM2.3 juta.

Artikel Berkaitan:

"Polis percaya sindiket berkenaan sudah aktif sejak Jun lalu dan polis masih mengesan dalangnya iaitu seorang lelaki tempatan yang masih bebas.

"Hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepines (benzo) manakala semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," ujarnya

Tambahnya, semua suspek direman tiga hari bermula Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!