'Mantan PM pun dihukum, contoh yang sangat bagus'
SHAH ALAM - Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap pelaku rasuah tanpa mengira jawatan atau pangkat dan belas kasihan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Kedah, Abdul Wahab Yahya berkata, ia berikutan bekas perdana menteri juga dihukum selepas didapati bersalah.
“Mantan PM Malaysia pun dihukum, ini suatu contoh yang sangat bagus. Siapa sahaja yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan sekiranya berlaku jenayah tersebut.
“Kesimpulannya, Malaysia sebuah negara Demokrasi Raja Berperlembagaan yang Islam sebagai agama rasmi, jadi pesalah yang dibuktikan di mahkamah pasti mendapat hukuman,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Abdul Wahab, pendidikan agama perlu diterapkan kepada pekerja dalam sektor awam mahupun swasta sebagai langkah peringatan dan amaran untuk tidak melakukan kegiatan rasuah.
Ujarnya, orang ramai terutama masyarakat Islam mengetahui setiap perkara yang dilakukan pasti akan dihisab.
“Mungkin seseorang itu terlepas hukuman di dunia tetapi sudah semestinya tidak akan terlepas di akhirat kelak. ALLAH SWT sentiasa memerhatikan hamba-NYA.
“Selain kefahaman dalam Rukun Iman dan Rukun Islam, ihsan adalah antara perbuatan yang sangat kurang difahami serta dihayati umat Islam,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!