Kilang e-waste cemari udara disiasat
SHAH ALAM - Siasatan dan tindakan sedang diaturkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung dakwaan pengoperasian beberapa kilang haram memproses sampah elektronik atau e-waste di Segamat, Johor hingga mengundang pencemaran.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya mengambil maklum aduan penduduk dan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.
Menurutnya, seperti mana sedia maklum, isu pengimportan secara haram bahan e-waste perlu diperhalusi dan disiasat oleh agensi yang berkaitan.
"Selain itu, isu yang dibangkitkan juga turut melibatkan bidang kuasa pelbagai agensi dan perlu ditangani secara holistik.
"Kita kena hentikan puncanya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, JAS juga memandang serius berkait dakwaan isu pencemaran dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat.
Tambahnya, JAS mengalukan masyarakat atau mana-mana pihak menyalurkan aduan berkait pencemaran untuk tindakan lanjut jabatan.
Pada Selasa, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan aktiviti kilang haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sampah e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.
Kilang kitar semula barang terpakai itu disyaki beroperasi tanpa permit atau lesen sah daripada JAS bagi menguruskan keseluruhan proses barangan e-waste.
Selain itu, temu bual Sinar Harian dengan penduduk juga mendakwa mereka berdepan dengan pencemaran bau pada waktu malam disyaki akibat proses peleburan sisa e-waste.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!