Masalah malpemakanan turut belenggu golongan pertengahan, berpendapatan tinggi

Dr Dzulkefly (tengah) pada sidang akhbar Majlis Pengukuhan 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan pada Selasa.
Dr Dzulkefly (tengah) pada sidang akhbar Majlis Pengukuhan 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan masalah beban berganda malpemakanan tidak hanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.

Sebaliknya kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, masalah itu turut membelenggu golongan pertengahan dan berpendapatan tinggi.

"Mereka mungkin kaya dan berpendapatan tinggi, tetapi tidak memberikan diet yang sempurna kepada anak-anak dan kita terkejut ia berlaku di Putrajaya," katanya.

Malnutrisi atau malpemakanan merupakan keadaan yang terhasil akibat pengambilan nutrien tidak mencukupi di mana sesetengah zat kurang atau dalam nisbah yang salah.

Ia menyebabkan berlakunya masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia (NHMS) 2016 mendapati, kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya adalah 24.3 peratus, melebihi kadar prevalens negara ketika itu, iaitu 20.7 peratus.

Menurut Dzulkefly, kerangka pengukuhan 1,000 hari pertama kanak-kanak antara inisiatif di bawah Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalab Beban Berganda Malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak dilancarkan.

"Kajian perubatan menunjukkan masalah ini perlu diatasi pada umur kanak-kanak 1,000 pertama.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu di bawah kerangka ini, program pemakanan 'dihidupkan' kembalikan," jelas beliau.

Di bawah kerangka pengukuhan tersebut, tiga strategi yang digariskan perlu dilaksanakan dengan segera merangkumi peluasan skop perkhidmatan kesihatan termasuklah fasa pra kehamilan.

Selain itu, ia turut menggariskan peningkatan sinergi perkhidmatan dan program yang ditawarkan oleh KKM turut tersedia di fasiliti kesihatan swasta.

"Ini termasuk pengawasan tumbesaran bayi dan kanak-kanak dengan melaksanakan timbang berat badan, ukur tinggi," katanya.

Ujar beliau, KKM juga mengalu-alukan lebih banyak penglibatan sekolah dalam program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) sebagai menyokong usaha memerangi beban berganda malpemakanan kanak-kanak.

Menurutnya, sejak HiTS diperkenalkan pada tahun 2007, sebanyak 210 sekolah di seluruh negara menyertai HiTS dengan penyertaan sekolah terbanyak dari Johor.

"HiTS ini dilaksanakan secara sukarela dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) yang mana KKM menyediakan senarai menu HiTS berbeza setiap hari dengan kadar bayaran RM3.50," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!