Pinda akta, tindakan tegas ke atas pemandu di bawah pengaruh dadah - Anthony Loke

Anthony Loke (kiri) mendengar penerangan daripada Muhammad Kifli (kanan) berhubung operasi khas bersepadu kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak, Selangor pada Selasa. Foto HISYAMUDDIN AYUB.
Anthony Loke (kiri) mendengar penerangan daripada Muhammad Kifli (kanan) berhubung operasi khas bersepadu kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak, Selangor pada Selasa. Foto HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

GOMBAK - Tindakan lebih tegas akan dikenakan ke atas pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kesalahan pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah sama seperti kesalahan pemandu menggunakan alkohol berlebihan.

Beliau berkata, pihaknya bercadang meminda Seksyen 45 A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) bagi membolehkan pemandu menggunakan dadah dikenakan tindakan tegas.

"Saya melihat ada kelompongan dalam akta ini kerana kesalahan menggunakan dadah semasa memandu adalah sama dengan pemandu mabuk atau menggunakan alkohol melebihi had ditetapkan.

"Oleh itu, kita perlu mengkaji balik akta ini bagi membolehkan tindakan tegas boleh diambil ke atas pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah.

"Mengikut akta ini, pemandu menggunakan alkohol berlebihan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan diharap hukuman sama boleh dikenakan ke atas pemandu yang menggunakan dadah," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika melawat pemantauan operasi khas bersepadu kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak.

Hadir sama Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, menjadi satu keperluan untuk mengenakan tindakan tegas ke atas pemandu menggunakan dadah kerana kesalahan tersebut adalah serius dan membimbangkan.

Menurut beliau, tindakan yang diambil ke atas golongan pemandu menggunakan dadah sebelum ini tidak cukup tegas dan mereka akan hanya didakwa sekiranya terlibat dalam kemalangan.

Malah katanya, tindakan sebelum ini sekadar gantung lesen adalah tidak mencukupi kerana ia sangat membahayakan pengguna jalan raya.

Tegas beliau, golongan pemandu yang terlibat dengan dadah perlu dicegah, disenarai hitam dan disingkirkan daripada sistem jalan raya.

"Sama seperti pemandu mabuk, mereka ini tidak sedar apa yang dilakukan.

"Oleh itu, mereka perlu didakwa dan menerima hukuman berat atas kesalahan dilakukan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!