FAM sasar Harimau Malaya juara Pestabola Merdeka

Firdaus (kanan) semasa sidang akhbar selepas majlis undian di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Isnin. Foto FAM
Firdaus (kanan) semasa sidang akhbar selepas majlis undian di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Isnin. Foto FAM
A
A
A

MALAYSIA diundi bertemu Filipina pada perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 malam 4 September depan.

Dalam majlis undian di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya pada Isnin, satu lagi aksi separuh akhir menemukan juara bertahan Tajikistan dan Lubnan juga pada 4 September di venue sama.

Aksi menentang Filipina merupakan tugasan pertama jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente selepas dilantik sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya susulan peletakan jawatan mengejut bekas pengendali Kim Pan-gon, bulan lepas.

Pau Marti merupakan penolong kepada Pan-gon sejak 2022.

Jun lepas, Malaysia di bawah bimbingan Pan-gon mengalami kekecewaan yang memeritkan selepas gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak lebih awal ke Piala Asia 2027 walaupun dilihat mengharungi kempen pusingan kelayakan dengan baik.

Rentetan kegagalan itu, Malaysia perlu bermain dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung tahun depan dalam misi membuat penampilan kali kedua berturut-turut selepas edisi 2023 di Doha, Qatar awal tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tempatan Pestabola Merdeka 2024, Mohd Firdaus Mohamed merangkap Naib Presiden FAM berkata, Harimau Malaya diletakkan sasaran muncul juara Pestabola Merdeka kali ini.

Pada Pestabola Merdeka 2023, Malaysia yang menewaskan India di separuh akhir, muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di final.

Artikel Berkaitan:

Ini merupakan kali pertama Pestabola Merdeka dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun, iaitu kali terakhir diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008.

Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali dengan kali terakhir memenanginya pada edisi 2013.

Sebagai rekod, Malaysia ketika ini menghuni ranking ke-134 dunia, Filipina (147), Lubnan (116) dan Tajikistan (103).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!