Ubat perangsang seks bernilai RM3.9 juta dirampas

Mohd Zawawi (tiga dari kiri) dan Dr Fazilah (dua dari kanan) menunjukkan antara ubat perangsang seks tidak berdaftar yang dirampas.
Mohd Zawawi (tiga dari kiri) dan Dr Fazilah (dua dari kanan) menunjukkan antara ubat perangsang seks tidak berdaftar yang dirampas.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak 463 jenis produk ubat perangsang seks tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dianggarkan bernilai RM3.9 juta dirampas dalam Ops Legacy 2.0 yang dilaksanakan di negeri ini pada 30 Julai lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Mohd Zawawi Abdullah berkata, kesemua hasil rampasan itu diperoleh melalui serbuan di 17 buah premis termasuk kilang memproses ubat kuat berkenaan, gudang, stor penyimpanan, kediaman serta pejabat sindiket.

Menurutnya, turut dirampas tujuh peranti digital termasuk telefon pintar yang digunakan mereka untuk mempromosi dan menjual produk ubat perangsang seks yang mengandungi racun berjadual serta tidak bernotifikasi dalam talian.

"Hasil risikan dan siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak 2022 dan modus operandi mereka ini menggunakan platfom media sosial dan e-dagang untuk menjual ubat perangsang ini.

"Melalui operasi ini kita telah menahan sembilan individu berusia 20 hingga 50 tahun yang merupakan pemilik kilang dan staf untuk membantu siasatan.

"Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang kelayakan, bukan pihak yang sah untuk mengeluarkan produk kesihatan berkenaan,"katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Noraini Ab Kadir.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, operasi sama turut dilakukan di Kedah dan Johor dengan rampasan 64 jenis produk yang bernilai lebih RM500,000.

Artikel Berkaitan:

Mengakui pihaknya berdepan dengan cabaran mengekang penjualan produk berkenaan di media sosial terutamanya di platfom e-dagang, Mohd Zawawi berkata pihaknya giat menjalankan saringan terhadap iklan-iklan yang dibuat dengan tuntutan perubatan yang tidak sah.

Katanya, sebanyak 15,000 saringan telah dibuat sepanjang tahun ini termasuk mengambil tindakan sekatan dan menurunkan iklan-iklan berkenaan dari platfom media sosial dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, Dr Fazilah berkata, pengambilan ubat perangsang seks tidak berdaftar ini boleh memberi kesan terhadap tekanan darah rendah, kerosakan hati dan buah pinggang selain boleh menjejaskan mental.

Jelasnya, ubat perangsang seks merupakan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah seksual seperti mati pucuk, impotens atau juga dikenali sebagai Erectile Dysfunction (ED) dan untuk Malaysia ada beberapa jenis ubat perangsang seks telah didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya ubat untuk rawatan penyakit berkaitan fungsi seksual ini tidak boleh diiklankan di mana-mana media penyiaran kerana dilarang secara mutlak mengikut Seksyen 3 Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 dan hanya boleh dibekalkan pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!