Anggota bomba maut selepas hampir dua hari bertarung nyawa
KOTA MARUDU - Seorang anggota bomba meninggal dunia selepas hampir dua hari bertarung nyawa ketika menerima rawatan Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) akibat kemalangan di Jalan Kota Marudu-Marak Parak, Kampung Hatob, di sini, Ahad lalu.
Masreh Masah, 50, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam Isnin di wad unit rawatan rapi hospital tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Ahad, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha R15 bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati, kereta tersebut dari arah Marak Parak menuju ke Pekan Kota Marudu manakala mangsa dari arah bertentangan disyaki telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan kereta lalu bertembung.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan mendapat rawatan awal di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu sebelum dihantar ke QEH I untuk rawatan lanjut manakala pemandu pula hanya luka ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, Simiun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada QEH I dan memaklumkan mangsa telah meninggal dunia pada 9.30 malam.
"Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Simiun dalam pada itu berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh berhubung dengan pihak polis bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!