Sikap responsif agensi Pusat diyakini menangkan BN di Nenggiri
GUA MUSANG - Sikap responsif agensi kerajaan Pusat terhadap kehendak rakyat diyakini akan memberi kelebihan kepada UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos nanti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kehendak rakyat berjaya dipenuhi oleh agensi terbabit sejak sebelum proses penamaan calon pada Sabtu lalu.
"Keyakinan saya berasaskan kepada tindak balas (agensi Pusat) yang begitu pantas terhadap permintaan-permintaan rakyat.
"Saya juga melihat (berlaku) cacamarba pemilihan calon pihak sana (parti lawan) sebab sepatutnya memang (kena) calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukan orang yang baharu dia tiga hari jadi ahli Bersatu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Rasmi PRK DUN Nenggiri di Dataran Lembaga Kemajuan Kelantan (Kesedar) di Kampung Sungai Asap di sini pada Selasa.
PRK Nenggiri bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.
Pencalonan Mohd Rizwadi yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapat kritikan hebat daripada BN dan Pakatan Harapan (PH) kerana beliau merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang dan didakwa baharu menyertai Bersatu semata-mata untuk bertanding.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya mendakwa, Mohd Rizwadi juga tidak berapa dikenali ramai berbanding Mohd Azmawi yang popular dengan panggilan Awie.
"Awie telah bertugas dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri merangkap bekas Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Ab Aziz Yusoff selama 13 tahun.
"Dengan kata lain, Awie dah pusing serata negeri sewaktu Ab Aziz jadi ADUN Nenggiri. Jadi Awie bukan sehari dua masuk Nenggiri macam calon belah sana. Awie dah berbelas tahun memberikan khidmat sebelum dia jadi calon," ujarnya.
Ditanya mengenai jangkaan jumlah majoriti yang akan dimenangi BN, Ahmad menegaskan, kemenangan tersebut memadai dengan kelebihan undi dalam junlah yang selesa.
"Menang itu biarlah (dengan kedudukan) yang 'sedap'. Kita kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu pun cuma dengan majoriti 810 undi. Kalau kita boleh menang dengan angka itu pun molek (bagus)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!