Sucikah pakaian yang masih ada sisa sabun melekat?

RAMAI yang runsing apabila melihat terdapat kesan atau sisa sabun melekat pada pakaian selepas dibasuh kerana ia akan dipakai ketika solat. -Gambar hiasan
RAMAI yang runsing apabila melihat terdapat kesan atau sisa sabun melekat pada pakaian selepas dibasuh kerana ia akan dipakai ketika solat. -Gambar hiasan
A
A
A

ADAKALANYA tanpa kita sedari, ada sisa sabun melekat pada pakaian selepas dicuci dengan mesin basuh automatik.

Selepas kain itu kering, kadangkala baru kita perasan sisa sabun berwarna keputih-putihan itu. Bagaimanapun, kita sudah pun ‘selamat’ mengenakan pakaian tersebut dan dibawa ketika solat.

Apakah pakaian yang mempunyai sisa sabun itu suci? Bukan apa, bimbang jika statusnya najis kerana pakaian itu lazimnya dipakai ketika solat.

Menjawab persoalan itu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, suatu pakaian itu pada asalnya dikira suci sehinggalah terdapat najis padanya.

Ia bertepatan dengan kaedah ‘Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya’.

Dalam hal membasuh pakaian bernajis menggunakan mesin basuh automatik, hukumnya pula adalah harus berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 21 dan 22 Ogos 2019.

BAGI pakaian yang telah dibasuh dengan mesin basuh automatik dan terdapat padanya kesan sisa putih sabun basuhan, hukumnya adalah suci sehingga terdapat najis terkena padanya. -Foto: Canva
BAGI pakaian yang telah dibasuh dengan mesin basuh automatik dan terdapat padanya kesan sisa putih sabun basuhan, hukumnya adalah suci sehingga terdapat najis terkena padanya. -Foto: Canva

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan kepada fakta itu, maka pakaian yang telah dibasuh dengan mesin basuh automatik dan terdapat padanya kesan sisa putih sabun basuhan, hukumnya adalah suci sehingga terdapat najis terkena padanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi eKemusykilan, portal Soal Jawab Agama jabatan mufti itu.

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, para ulama Mazhab Syafie berselisih pandangan dalam hal itu.

Pandangan pertama, menurut Imam Ramli, pakaian yang terdapat kesan sabun itu masih belum suci (najis) sehinggalah bau dan sabun tersebut hilang dan apabila pakaian itu diperah, benar-benar air jernih yang keluar.

“Jika sukar untuk menghilangkan sisa atau kesan sabun itu, maka ia dimaafkan,” katanya memetik daripada laman web emusykil.muftiselangor.gov.my.

Dalam pada itu, menurut pandangan kedua oleh Imam At-Thabalawi, hukum sisa sabun sama seperti hukum bau yang terdapat pada pakaian yang telah dibasuh iaitu suci.

Ia dengan syarat sabun berkenaan tidak terdapat najis dan sifat-sifat najisnya sudah hilang (bau, warna dan rasa).

Berdasarkan kedua-dua pandangan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, dibolehkan untuk kita mengikuti salah satu dari kedua-dua pandangan tersebut dengan tetap saling menghormati dan menghargai pihak lain.

SEBAIKNYA jika mendapati bekas sabun pada baju, hendaklah dibilas dengan air pada baju tersebut sahaja hingga hilang kesan sekadar yang termampu dan basuhan itu adalah suci. -Foto: Canva
SEBAIKNYA jika mendapati bekas sabun pada baju, hendaklah dibilas dengan air pada baju tersebut sahaja hingga hilang kesan sekadar yang termampu dan basuhan itu adalah suci. -Foto: Canva

“Bagaimanapun, keluar daripada khilaf adalah dituntut iaitu jika mendapati bekas sabun pada baju, hendaklah dibilas dengan air pada baju tersebut sahaja hingga hilang kesan sekadar yang termampu dan basuhan itu adalah suci,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!