Pengkalan Kubor bakal dapat feri bernilai RM8 juta tahun depan

Ahmad melawat Pusat Media Rasmi PRK DUN Nenggiri di Kampung Sungai Asap, Gua Musang pada Selasa.
Ahmad melawat Pusat Media Rasmi PRK DUN Nenggiri di Kampung Sungai Asap, Gua Musang pada Selasa.
A
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan terus mempertingkatkan akses perhubungan antara Malaysia dan Thailand dengan menyediakan kemudahan sebuah feri baharu bernilai RM8 juta di Pengkalan Kubor, Kelantan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, feri baharu berkenaan dijangka beroperasi pada awal tahun depan membabitkan laluan Pengkalan Kubor ke Tak Bhai, Thailand.

Katanya, ketika ini proses pembinaan feri tersebut sedang dilakukan dan dijangka siap dalam tempoh sebulan dua lagi.

"Kita akan menukar feri lama bagi laluan Pengkalan Kubor ke Tak Bhai. Pemilik feri itu ialah Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Jadi ia satu pembaharuan iaitu kita tukar feri lama yang dah berumur lebih 20 tahun ke feri baharu.

"Feri baharu itu juga mempunyai tahap keselamatan yang lebih baik dan dapat muatkan lebih ramai penumpang serta kenderaan termasuk motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Media Rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kampung Sungai Asap di sini pada Selasa.

Ahmad berkata, Thailand juga mempunyai sebuah feri yang beroperasi di laluan Tak Bhai-Pengkalan Kubor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, feri dari Thailand telah tiga kali bertukar sepanjang 20 tahun perkhidmatan feri Malaysia disediakan di laluan berkenaan.

"Feri Malaysia baru kali ini akan bertukar. Kita dapat peruntukan untuk sediakan kemudahan ini jadi dari aspek keselamatan, ia lebih selamat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!