Organisasi media disaran manfaat sepenuhnya teknologi AI

Fahmi Fadzil (kanan) bersama Timbalannya, Teo Nie Ching (dua,kanan) melawat pameran galeri foto Bernama sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Ogos 2024 di kementeriannya pada Selasa. Foto Bernama
Fahmi Fadzil (kanan) bersama Timbalannya, Teo Nie Ching (dua,kanan) melawat pameran galeri foto Bernama sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Ogos 2024 di kementeriannya pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyarankan organisasi media agar memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mempercepat penyediaan laporan berita.

Beliau berkata ketika ini, banyak hasil AI terutama AI Generatif (GenAI) dapat disiarkan dalam format audio visual.

"Apa yang saya ingin kita teroka ialah mungkin ada yang boleh dimanfaatkan oleh AI dan GenAI untuk membantu, contohnya Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) bagi meneliti data atau jumlah yang banyak supaya kerja-kerja tertentu oleh seorang individu difokuskan kepada beberapa perkara.

"AI mungkin boleh cerakinkan, mudahkan, kumpulkan, kategorikan data, bagi membantu dalam aspek itu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi bagaimanapun menegaskan, AI tidak dapat menggantikan peranan manusia namun mampu membantu mengurangkan bebanan kerja harian.

"Semakin maju AI ini terutama GenAI. Saya tidak boleh tidak memikirkan kegusaran para editor, penulis skrip, illustrator adakah mereka merasakan bagaimana masa depan mereka?" katanya.

Beliau juga berharap, kemajuan AI dapat dimanfaat untuk persembahan serta acara sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Hari Malaysia pada 16 Sept di Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Komunikasi sebagai hos yang menguruskan acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ingin menyampaikan mesej jelas secara tersirat serta tersurat.

"Saya berharap agensi cuba mula fikirkan apa boleh dimanfaatkan dengan AI,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!