Permintaan Tengku Zafrul perlu dipertimbangkan - Amirudin
KUALA SELANGOR - Selaku sekutu Pakatan Harapan (PH), permintaan UMNO Bahagian Kota Raja agar diberikan satu kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang perlu dipertimbangkan.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia akan dimuktamadkan pada masa sesuai selepas melalui beberapa proses perbincangan.
"Perkara ini perlu dibincangkan kerana akan berdepan dengan pilihan raya menjelang 2027 atau 2028.
"Sebagai rakan kongsi, hal itu (permintaan kerusi) boleh dipertimbangkan, dibincang dalam mesyuarat dan boleh diangkat sehingga ke peringkat Majlis Presiden," katanya pada Selasa.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Datuk Menteri Besar Selangor Tahun 2024 di Padang Kawad, UiTM Puncak Alam di sini.
Pada Ahad, Ketua UMNO Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat permintaan terbuka itu ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja yang turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, meminta salah satu kerusi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning atau Parlimen Kota Raja diberikan kepada UMNO atas semangat perpaduan.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor ketika ditanya keperluan isu kerusi dibangkitkan terlalu awal berkata, permintaan itu mungkin dibangkitkan oleh akar umbi yang disuarakan melalui Mesyuarat Agung Tahunan.
"Ini adalah Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Kota Raja. Jadi isu ini mungkin timbul dalam kalangan akar umbi Kota Raja.
"Kena lihat perkara ini kerana setiap parti ada proses dari peringkat Bahagian sampai ke Presiden dan kepimpinan.
"Biar proses ini dilalui, tidak perlu melompat awal.. lalui saja prosesnya dan lihat hasil perbincangan yang akan dilakukan," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin ketika mengulas berkenaan Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Datuk Menteri Besar Selangor berkatata, program itu merupakan sebahagian pembentukan jati diri dalam kalangan pelajar melalui aktiviti ko kurikulum.
Tambahnya, penganjuran program itu juga sebagai pengiktirafan peranan dan pengorbanan pelajar yang telah mengikuti aktiviti badan beruniform pada hujung minggu.
"Seperti yang saya sebut, keprihatinan kita bukan tertumpu kepada pembelajaran dalam kelas dan tuisyen sahaja tetapi turut diberikan ruang untuk aktiviti ini.
" Ini julung kali diadakan dan saya yakin ia memberi manfaat kepada 5,000 pelajar dari seluruh daerah di Selangor yang mengikuti program ini," katanya.
Katanya, program tersebut meliputi penyertaan pelajar sekolah menengah pada Selasa dan disusuli murid sekolah rendah pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!