Siasat dakwaan rombakan besar kepimpinan tertinggi PDRM

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Rusdi.
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Rusdi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung dakwaan sebuah portal dalam talian mengenai perancangan pertukaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kes ini disiasat dibawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu berhubung penyebaran kenyataan tidak sahih di laman sosial," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan, PDRM menafikan dakwaan rombakan besar-besaran kepimpinan tertingginya yang dikatakan akan ditukar keluar daripada pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya telah mengesan satu laporan berita daripada sebuah portal dalam talian mengenai dakwaan perancangan pertukaran kepimpinan tertinggi PDRM.

Menurutnya, PDRM ingin menegaskan bahawa tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan.

Portal itu memetik, antara pegawai yang terlibat dalam rombakan itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Portal berita juga memetik kedua-dua pegawai kanan itu telah dikaitkan dengan pertukaran ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Ketua Pengarah.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!