Penuntut IPTA didakwa khianat guna api
SELAYANG - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api terhadap pasar raya Speedmart 99 di Bandar Country Homes, Gombak minggu lalu.
Tertuduh, Low Boon Leng, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan khianat terhadap pasar raya berkenaan dengan menggunakan api pada 22 Januari lalu jam 2.10 petang.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara 14 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.
Nurul Ain menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun Mohd Redzuan mewakili anak guamnya memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih belajar dan bapanya turut menanggung empat lagi adik-beradik yang lain.
Mohd Redzuan juga menambah, bapa tertuduh turut mengalami sakit jantung sementara salah seorang adiknya juga mengalami masalah tulang belakang.
Menurut Mohd Redzuan lagi, anak guamnya juga terpaksa berulang-alik dari kediamannya di Kuala Lumpur ke Kelantan bagi meneruskan sesi pembelajarannya dan masih berada di semester awal.
Hakim Maziah kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!