Tiga kelab Liga Super berdepan tunggakan gaji dua bulan
TIGA kelab Liga Super didapati mempunyai tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bagi Mei dan Jun tahun ini.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ketika mengesahkan perkara itu berkata, ia hasil pemeriksaan dokumen-dokumen laporan kewangan dilakukan Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) sebelum 16 Julai lalu.
“Dua kelab lagi perlu menghantar dokumen kewangan tambahan. Kesemua kelab terbabit diarahkan oleh FFP FIB untuk menyelesaikan tunggakan dan menyerahkan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 15 Ogos.
“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelab itu dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang,” kata MFL dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama MFL memaklumkan, berdasarkan pemeriksaan dokumen-dokumen laporan kewangan itu, FFP FIB mendapati lapan kelab berjaya menyerahkan laporan kewangan pertama FFP dengan lengkap tanpa sebarang tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS Perkeso setakat Jun tahun ini.
Bagaimanapun, terdapat dua kelab tidak menghantar laporan kewangan pertama FFP pada tarikh akhir 16 Julai, namun berjaya menyelesaikannya selepas diberikan lanjutan masa sehingga 31 Julai oleh pihak FIB FFP.
MFL menyatakan bahawa pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa pertama dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia bermula musim 2024/25.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!