Mohamad ketuai Malaysia ke mesyuarat tergempar OIC

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif di Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 7 Ogos di Jeddah, Arab Saudi.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat berkenaan akan membincangkan jenayah kependudukan Israel terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran.

“Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Gambia, Pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-15.

“Penyertaan Menteri Luar Negeri di mesyuarat ini memberi peluang untuk Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel termasuk pembunuhan kejam Ismail Haniyeh di Teheran,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, penyertaan Mohamad adalah bukti komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka serta berdaulat.

Sebelum ini, Menteri Luar sementara Iran, Ali Bagheri Kani mendesak OIC mengadakan mesyuarat tergempar menteri-menteri luar berikutan pembunuhan ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran.

Agensi Berita Iran IRNA melaporkan bahawa Bagheri menerusi akaun rasmi X miliknya pada Jumaat mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu dan memberi amaran mengenai akibat jenayah sebegini oleh rejim Zionis Israel.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!