Parti dalam PN sepakat, tapi sebelah sana 'BN show' - Dr Afif
SHAH ALAM - Calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dilihat hanya mewakili parti tunggal dan bukan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Afif Bahardin berpandangan, situasi itu jelas dipamerkan ketika hari penamaan calon bagi PRK tersebut pada Sabtu lalu.
“Calon Perikatan Nasional (PN) diiringi pemimpin dari Bersatu, Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia), MyPPP (Parti Progresif Penduduk) dan Pas.
“Tetapi bila saya lihat di sebelah sana, ia seperti 'BN show', tidak nampak (kesepakatan) BN-PH. Saya boleh katakan tidak sampai (bilangan jari) dua tangan pemimpin PH yang hadir, DAP langsung tidak hadir.
“Jadi jelas mesej yang hendak disampaikan kepada pengundi, kalau di Putrajaya (kerjasama) Kerajaan Perpaduan, di Nenggiri mereka kena asing-asing, ia perkahwinan untuk kemudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar Khas PRK bertajuk ‘Ada apa dengan Nenggiri?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, pada Selasa.
Turut diundang sebagai panelis ialah Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.
Dalam pada itu Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan menegaskan, situasi tersebut tidak pernah berlaku dalam kalangan parti komponen dalam PN.
Malah ujar beliau, semua parti dalam pakatan sentiasa sepakat dalam pemilihan calon, logo dan bendera yang akan digunakan dalam setiap pilihan raya.
“Kesepakatan PN seperti logo yang digunakan di Terengganu dan Kelantan, kita akan pakai Pas. Kalau keputusan itu adalah logo PN, maka semua akan pakai logo PN.
“Pengundi di Nenggiri dan seluruh negara boleh nampak, mereka nafikan kesepakatan pemimpin, kenapa DAP tidak dibawa bersama.
“Kalau kesepakatan politik itu adalah yang terbaik untuk negara, sepatutnya ia dipromosi, ditunjuk dan dibanggakan. Itu tidak berlaku,” ujarnya.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!