Sasar 10,000 peserta baca al-Quran

Program World #QuranHour Negeri Sembilan yang lalu. Gambar kecil: Gharizah
Program World #QuranHour Negeri Sembilan yang lalu. Gambar kecil: Gharizah
A
A
A

SHAH ALAM - Rumah Ngaji Negeri Sembilan menganggarkan seramai 10,000 peserta yang akan mengikuti program Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada 30 Ogos ini.

Penyelarasnya, Gharizah Hashim berkata, mereka yang berumur 12 hingga lebih 80 akan menyertai program itu di beberapa lokasi terpilih yang berhampiran.

Menurutnya, lokasi utama di Negeri Sembilan akan berlangsung di Masjid Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong Putra, Nilai untuk rakyat setempat turut merasai pengalaman Malaysia #QuranHour.

“Selain itu, kami juga akan anjurkan program ini di 80 Perpustakaan Awam di seluruh daerah, semua masjid dan surau termasuk sekolah rendah, menengah serta tahfiz di Negeri Sembilan.

“Jabatan dan agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan atau Ibu Pejabat Daerah dan Bomba juga tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyertainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Program tersebut membawa tema ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’ bagi mendalami erti sebenar Rukun Negara berpandukan surah al-Jumu’ah dan al-Hujurat.

Tambah Gharizah, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menghebahkan Malaysia #QuranHour itu kepada komuniti setempat terutama di media sosial, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menyertainya.

Katanya lagi, perjumpaan dan taklimat ringkas turut dijalankan kepada badan-badan yang berkaitan supaya program tersebut berjaya dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Media sosial kini memainkan peranan penting untuk memaklumkan dan menyampaikan maklumat penting seperti penganjuran aktiviti ini,” ujarnya.

Justeru, Gharizah mengharapkan masyarakat akan mengambil manfaat daripada inti pati perjuangan kemerdekaan dan menjiwai Rukun Negara daripada tadabbur ayat al-Quran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!