Krisis empangan air: Doa, tawakal dan ikhtiar
MINGGU lepas, paras air di tiga empangan di Kedah dilaporkan semakin menyusut.
Paras air Empangan Muda dilaporkan berbaki lapan peratus, selain Empangan Pedu (39.09 peratus) dan Empangan Ahning (81.80 peratus). Purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan ialah 43.68 peratus.
Apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengulas mengenai perkara tersebut, ada yang memperlekehkan dan melemparkan komen negatif di media sosial, kononnya beliau tidak serius dengan masalah cuaca panas melanda negeri tersebut.
“Tunggu ALLAH turunkan hujan. Kita manusia tak boleh buat hujan sendiri, doa kepada ALLAH supaya turun hujan.
“Hujan mari, penuh balik takungan tu,” kata Muhammad Sanusi kepada pemberita ketika satu program di Renok, Gua Musang pada Ahad.
Sebenarnya tidak salah kenyataan Muhammad Sanusi itu kerana doa adalah ‘senjata’ umat Islam.
Setiap perbuatan kita perlulah disusuli dengan doa dan tawakal agar segala perancangan diredai serta dipermudahkan ALLAH SWT.
Cuma mungkin ketika menjawab soalan tersebut, Muhammad Sanusi hanya terarah kepada ‘doa’ dan ‘tawakal’ tetapi lupa hendak menyatakan ‘ikhtiar’ yang diambil kerajaan negeri.
Namun, sebagai Menteri Besar, Muhammad Sanusi sudah tentu tidak lepas tangan masalah berkenaan begitu sahaja.
Sudah pasti beliau sudah mendapatkan maklum balas pihak terlibat serta tindakan perlu dilakukan.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut memberi penjelasan melegakan pada Selasa bahawa tiga takungan empangan yang diselia di bawahnya itu sebenarnya masih di paras normal.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kapasiti takungan Empangan Pedu kini ialah 37.02 peratus dan mencapai kritikal jika paras takungan air berada pada paras 15 peratus.
Dua lagi empangan iaitu Empangan Muda kini sebanyak 7.44 peratus dan Empangan Ahning pula sebanyak 80.76 peratus.
Ujar Dr Ismail, operasi pembenihan awan (OPA) tidak akan dilakukan kerana menurut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan akan turun lebih banyak pada Ogos, September dan Oktober.
Apa pun, diharapkan masalah cuaca panas yang berlaku ini dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri dan pihak terlibat demi kepentingan penduduk di negeri tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!