Bila orang luar lebih hargai Malaysia

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, hargailah nikmat kemudahan, keamanan dan keharmonian yang kita kecap selama ini. Foto hiasan/Bernama
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, hargailah nikmat kemudahan, keamanan dan keharmonian yang kita kecap selama ini. Foto hiasan/Bernama
A
A
A

BARU-baru ini tular video seorang pelancong asing yang kagum dengan sistem pengangkutan monorel di ibu negara sehingga dia mempersoalkan kenapa di London yang merupakan bandar terkaya di benua Eropah tidak mampu melabur untuk kemudahan awam seperti itu.

Pemilik video tersebut juga memberitahu, walaupun di negaranya mempunyai sistem pengangkutan tren bawah tanah, namun ia masih tidak mencukupi untuk memudahkan pergerakan rakyatnya.

Di ruangan komen video tersebut, segelintir netizen yang pernah melancong ke London turut mengakui kemudahan di Malaysia adalah jauh lebih baik.

Malah, seorang pengguna mengakui selepas pulang dari luar negara dia lebih menghargai tanah air sendiri.

Sebelum ini, seorang pelancong Amerika Syarikat terkejut melihat pembangunan yang ada di negara ini kerana beranggapan Malaysia berada dalam kategori negara kelas ketiga.

Namun katanya, tidak mungkin sebuah negara kelas ketiga memiliki pusat beli-belah yang mewah dan cantik seperti Pavilion Kuala Lumpur.

Bahkan dia memberitahu, tiada tempat sebesar dan secantik itu yang wujud di tempatnya.

Di media sosial, banyak lagi perkongsian mengenai Malaysia sama ada daripada pelancong mahupun pekerja asing yang mencari rezeki di bumi bertuah ini.

Artikel Berkaitan:

Rata-ratanya memuji Malaysia yang bukan sahaja kaya dengan destinasi pelancongan menarik, malah keramahan penduduk setempat membuatkan pelancong berasa aman dan selesa.

Paling tidak boleh dilupakan, sudah tentulah makanannya yang lazat yang merupakan gabungan pelbagai budaya seperti Melayu, Cina dan India.

Sehinggakan ada pelancong yang sanggup berulang datang ke Malaysia kerana rindukan makanan seperti nasi lemak, roti canai, teh tarik dan sebagainya.

Maka tidak hairanlah Malaysia menduduki tangga pertama dalam senarai 20 negara paling disayangi di Asia.

Berdasarkan laman web Insider Monkey, Malaysia meninggalkan negara jiran iaitu Taiwan dan Singapura masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Malaysia juga merupakan negara keenam paling demokratik di benua Asia selain mendapat tempat kelima dalam kategori negara paling banyak dilawati, mengalu-alukan lebih daripada 10 juta pelancong pada 2022.

Malaysia juga pernah menjadi negara pilihan nombor satu yang ingin didiami oleh rakyat Jepun.

Menurut laman sesawang Foreland Realty Network, melalui kajian yang dijalankan, sudah 14 tahun berturut-turut (2006 – 2019) Malaysia menjadi pilihan pertama rakyat Jepun untuk menetap dalam tempoh masa yang panjang.

Terdapat pelbagai faktor yang menjadikan orang Jepun memilih Malaysia sebagai tempat mereka ingin diami.

Antaranya, Malaysia adalah sebuah negara yang selamat dan tidak mengalami kesan bencana alam yang teruk, faktor iklim, kos sara hidup lebih rendah, kemudahan fasiliti yang baik, selain sistem perubatan yang baik dengan kos yang rendah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia mencatatkan kedatangan pelancong yang ketara pada 2023, melonjak kepada 20.1 juta pelancong berbanding 10.1 juta pada 2022.

Sementara itu, menerusi Program Malaysia My Second Home (MM2H), sejumlah 2,164 permohonan diterima dari tempoh November 2021 sehingga 30 September 2023, dengan 1,905 permohonan telah diluluskan.

Program MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga atau pesara negara asing yang memenuhi syarat-syarat membeli hartanah dan menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

Dalam kita memuji, memandang tinggi negara orang, malah ada segelintir yang sanggup memburukkan negara kita sendiri, hakikatnya ramai orang luar yang sukakan Malaysia dan mahu tinggal di negara ini.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, hargailah nikmat kemudahan, keamanan dan keharmonian yang kita kecap selama ini.

* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!