Pelantikan Ku Li strategi baik BN menang di Nenggiri
SHAH ALAM - Pelantikan Ketua UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan strategi baik Barisan Nasional (BN) dalam memenangi PRK itu pada 17 Ogos ini.
Pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, pelantikan itu mungkin boleh mengembalikan nostalgia untuk menarik balik sokongan terutama penyokong UMNO dan 10 peratus etnik asal.
Menurutnya, ini kerana sehingga kini tiada perubahan ketara pola sokongan berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Ku Li ini boleh buka emosi kedua-dua kategori tersebut. Contoh di Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap UMNO perlu memujuk dan meminta penyokong memberi undi, namun berbeza di Nenggiri hanya menerapkan isu nostalgia.
"Sekiranya sentimen ini diterapkan, penerimaan boleh dimanipulasi sebaiknya. Tokoh seperti Ku Li akan beri kesan baik pada PRK nanti buat BN," katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar bertajuk ‘Ada apa dengan Nenggiri?' yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Program itu dikendalikan Ismail Adnan sebagai moderator dan turut disertai dua panelis lain iaitu Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Afif Bahardin.
Ditanya sama ada strategi itu akan membawa perspektif bahawa UMNO tidak melakukan perubahan kerana meletakkan individu lama dalam politik, Dr Mohd Yusri memberitahu, realiti dalam politik adalah perlu mengikut kehendak rakyat.
"Sebab pada saya UMNO mahu menang kena tawan hati penyokong mereka yang dahulu pernah sokong parti lain. Jadi Ku Li boleh menggamit nostalgia sekali gus mampu menarik undi.
"Lagipun Nenggiri ini adalah kawasan tradisi UMNO sudah sekian lama, pertama kali kalah, itu pun majoriti tipis," ujarnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan.
Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
BN diwakili oleh Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara PN menamakan Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!