Berhulu Camp tawar percutian ala kampung

Berhulu Camp terletak di pinggir Hutan Lipur Jeram Serting Ulu, Jempol. Gambar kecil: Mohd Hanif
Berhulu Camp terletak di pinggir Hutan Lipur Jeram Serting Ulu, Jempol. Gambar kecil: Mohd Hanif
A
A
A

TERLETAK di pinggir Hutan Lipur Jeram Serting Ulu, Jempol,Negeri Sembilan dan lokasinya pula berada dalam dusun buah durian dengan dikelilingi suasana alam semula jadi yang mendamaikan.

Itu gambaran menarik di Berhulu Camp di sini buat peminat perkhemahan sama ada datang bersama ahli keluarga ataupun mereka yang ingin menjalankan seminar atau kursus motivasi.

Kem yang diusahakan oleh dua sahabat, Mohd Hanif Abd Manaf, 42, dan Amir Zulhairi Mohd Yusof, 48, itu mula beroperasi pada tahun 2010 dengan keluasan 45 hektar.

Suasana penempatan peserta.
Suasana penempatan peserta.

Terletak hanya 12 kilometer dari Pekan Batu Kikir dan empat kilometer dari Pekan Simpang Pertang, Jelebu, selain berhampiran dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pasoh menjadikan lokasi ini antara pilihan si pencinta alam.

Menurut Mohd Hanif, pihaknya menyediakan tapak perkhemahan, chalet, tempat berkursus atau seminar, padang kawad untuk aktiviti badan beruniform dan percutian keluarga ala kampung, majlis keramaian termasuklah pusat rekreasi lasak dan motorcross.

“Pada asalnya usaha ini sekadar hobi sahaja dengan melibatkan sukarelawan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jempol.

Artikel Berkaitan:

Ruangan solat yang luas.
Ruangan solat yang luas.

"Mereka ini merupakan jurulatih motivasi yang berpengalaman luas hampir 25 tahun.

“Ia bagi membantu sekolah, persatuan dan agensi kerajaan mengadakan program-program motivasi pelajar, kem perkhemahan dan kursus belia secara percuma sebelum ia beroperasi secara rasmi lebih 10 tahun lalu dengan mengenakan bayaran dengan harga bajet,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, kem berkenaan boleh menempatkan kira-kira 300 orang peserta dalam satu-satu masa dengan kekuatan 30 kakitangan.

Peserta kelihatan teruja ketika menyertai salah satu program dalam perkhemahan motivasi di Berhulu Camp.
Peserta kelihatan teruja ketika menyertai salah satu program dalam perkhemahan motivasi di Berhulu Camp.

“Kami meletakkan kem ini sebagai aliran efektif kepada semua golongan, tidak terhad kepada pelajar sekolah dan golongan bekerjaya semata-mata sebab sesiapa sahaja boleh menyertai perkhemahan.

“Kita mahu mereka menikmati suasana di sini jauh daripada hiruk pikuk, orang kata cas semula tenaga positif sebelum memulakan kembali urusan masing-masing sekali gus mengembalikan semangat untuk meneruskan pekerjaan.

Antara aktiviti yang dijalankan di Berhulu Camp.
Antara aktiviti yang dijalankan di Berhulu Camp.

“Di sini juga terdapat jeram yang cantik serta airnya sangat jernih dan sekiranya musim buah-buahan pula, mereka boleh makan puas-puas,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi pemancing mereka boleh melakukan aktiviti tersebut kerana berhampiran kem terdapat lapan buah kolam ikan yang diusahakan oleh belia Kampung Serting Ulu.

Berhulu Camp turut menjadi tumpuan pihak yang mengadakan kem motivasi.
Berhulu Camp turut menjadi tumpuan pihak yang mengadakan kem motivasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!