Tiba masa Malaysia teroka pasaran baharu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEBERGANTUNGAN Malaysia pada eksport ke Amerika Syarikat (AS) dan China membuka ruang kepada negara untuk terdedah dengan kemelesetan ekonomi atas beberapa faktor.

Seperti yang dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia (Kewangan dan Ekonomi), Datuk Mohd Shahar Abdullah, kemerosotan pasaran global pada Isnin misalnya, dicetuskan oleh gabungan faktor termasuk laporan statistik buruh AS yang lebih lemah daripada jangkaan.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu segera mengambil langkah proaktif kerana permintaan terhadap barangan eksport dari Malaysia boleh menurun secara mendadak, sekali gus menjejaskan pendapatan negara sekiranya ekonomi kedua-dua negara mengalami kemerosotan.

Ketidakstabilan politik di dua negara kuasa besar itu juga boleh mempengaruhi kestabilan perdagangan dan pelaburan, seterusnya memberi impak negatif kepada ekonomi Malaysia.

Bagi mengurangkan risiko berkenaan, beberapa langkah boleh diperhalusi seperti meneroka pasaran baharu di negara-negara lain bagi mengurangkan kebergantungan pada dua negara terbabit.

Perkara tersebut pernah dilontarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mahu syarikat Malaysia meneroka pasaran baharu menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Beliau dilapor berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah diberikan tanggungjawab untuk menumpukan usaha memperoleh pasaran baharu bagi membantu syarikat meningkatkan perniagaan.

Selain itu sektor-sektor lain seperti pertanian, pelancongan dan perkhidmatan juga perlu dikembangkan supaya dapat mengurangkan kebergantungan pada eksport sahaja.

Artikel Berkaitan:

Secara tidak langsung, langkah-langkah yang pernah dicadangkan oleh pakar ekonomi sebelum ini dapat membantu Malaysia menjadi lebih berdaya tahan terhadap kemelesetan ekonomi global dan meningkatkan daya saing untuk jangka masa panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!