Misteri 'kotak emas' Olimpik Paris 2024 terungkai

Jessica memenangi dua pingat emas Olimpik buat Australia. - Foto: Agensi.
Jessica memenangi dua pingat emas Olimpik buat Australia. - Foto: Agensi.
A
A
A

MISTERI di sebalik kotak yang diraih pemenang pingat Sukan Olimpik 2024 di Paris akhirnya terungkai.

Peminat sukan dunia sebelum ini tertanya-tanya selain dikalungkan pingat ketika upacara penyampaian hadiah, pemenang turut menerima seunit kotak yang dianggarkan berukuran 40 sentimeter.

Bagaimanapun misteri itu terungkai apabila atlet kayak Australia, Jessica Fox membuka rahsia kandungan kotak misteri tersebut.

Pemenang dua pingat emas dalam acara perseorangan kanu (C1) dan kayak (K1) berkongsi rahsi kotak berkenaan menerusi TikTok di akaun @jessfoxcanoe.

"Biasa pemenang pingat Sukan Olimpik akan dapat bunga dan maskot, namun kali ini di Paris berbeza. Dapat poster yang unik dan maskot kecil. Cantik serta istimewa," katanya.

Maskot mini Paris 2024 itu dikenali sebagai Phryge dengan perkataan tahniah ditulis dalam bahasa Perancis di belakangnya.

Video berdurasi 39 saat itu memaparkan lukisan buatan tangan termasuk imej cincin Olimpik, Menara Eiffel, lokasi bersejarah dan venue pertandingan termasuk Olimpik Stade de France.

Berdasarkan portal rasmi temasya, poster berkenaan dihasilkan ilustrator terkenal Perancis, Ugo Gattoni.

Artikel Berkaitan:

Idea dan simbolik di sebalik lakaran poster itu ialah mengenai visi, alam dan keindahan kota Paris sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Paris 2024.

Gattoni menghabiskan lebih 2,000 jam dalam tempoh enam bulan bagi melakar kerja seni istimewa tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!