Nik Abduh selar penyasaran subsidi diesel, dakwa bebankan rakyat

Nik Abduh ketika berucap di Ceramah Kelompok UDM Serian di Gua Musang pada malam Selasa.
Nik Abduh ketika berucap di Ceramah Kelompok UDM Serian di Gua Musang pada malam Selasa.
A
A
A

GUA MUSANG - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyelar tindakan kerajaan melakukan penyasaran subsidi diesel kerana mendakwa keputusan tersebut terbukti membebankan rakyat.

Ahli Dewan Negara itu mendakwa, penyasaran subsidi diesel berkenaan dibuat untuk mengatasi kes penyeludupan diesel di sempadan Malaysia-Thailand.

Menggunakan analogi diesel seperti karipap yang dijual di kantin sekolah, beliau berkata, tindakan menaikkan harga karipap di kantin semata-mata untuk mengelakkan ia dijual di luar sekolah adalah tidak wajar.

"Sekolah bagi subsidi kepada kantin, jadi karipap cuma dijual pada harga 20 sen sebiji berbanding 50 sen di luar.

"Oleh kerana karipap murah, orang seludup dan dijual di luar. Jadi bila buat mesyuarat sekolah, pengetua buat keputusan tarik balik subsidi supaya tak berlaku penyeludupan.

"Akhir sekali semua anak murid tidak kira miskin atau kaya kena beli karipap dengan harga 50 sen sebiji. Karipap itu diesel lah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Kelompok Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada malam Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis dan calon Perikatan Nasional (PN) PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail.

Artikel Berkaitan:

Nik Abduh berkata, bahana daripada tindakan kerajaan melakukan penyasaran bahan api tersebut mengakibatkan kos pengangkutan untuk memunggah hasil komoditi seperti kelapa sawit menjadi mahal.

"Cerdik ke keputusan begitu. Kerajaan nak marah orang seludup diesel di sempadan Thailand, akhirnya dia jual diesel mahal.

"Patutnya kalau nak lawan penyeludup, pergi jaga sempadan dan yang kedua cari siapa dalang seludup, pegang dan tangkap dia," ujarnya.

Justeru, Nik Abduh menggesa supaya rakyat menukar kepimpinan kerajaan Persekutuan dan ia perlu bermula di Nenggiri dengan menyokong calon PN.

Katanya, ia supaya pemerintahan kerajaan negeri dapat terus diperkukuhkan sekali gus dapat menjadikan Kelantan sebagai satu contoh kekuatan 'suara' rakyat.

Sementara itu, Nik Abduh yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Muhamad Jailani tidak ubah seperti Hang Jebat apabila bekas wakil rakyat UMNO berkenaan nekad menyertai Pas.

"Sepanjang lebih 50 tahun umur saya, saya rasa tak ada wakil rakyat UMNO masuk Pas. Memang betul-betul Hang Jebat Datuk Jailani ni. Ia juga satu sejarah dalam politik negara kita," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!