Ahli gusti Cuba unggul tawan lima pentas Olimpik

Lopez meraih pingat emas dalam acara sama di lima temasya Olimpik sejak edisi di Beijing pada 2008. Foto AFP
Lopez meraih pingat emas dalam acara sama di lima temasya Olimpik sejak edisi di Beijing pada 2008. Foto AFP
A
A
A

AHLI gusti Greco-Roman dari Cuba, Mijain Lopez berada dalam kelas tersendiri apabila memahat nama dalam sejarah Olimpik dengan menjadi atlet pertama mengungguli acara yang sama pada lima temasya berturut-turut.

Atlet berusia 41 tahun itu meraih pingat emas dalam kategori 130 kilogram (kg) setelah menewaskan Yasmani Acosta Fernandez dari Chile dengan kutipan mata 6-0.

Di sebalik kejayaan itu, beliau meluahkan hasrat untuk bersara dan menyerahkan gelanggang gusti kepada generasi baharu pula.

"Sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal.

"Apakah peluang yang lebih baik untuk saya berada di sini pada perlawanan akhir. Bertarung dengan rakan sebaya dan menang di Sukan Olimpik?.

"Tiada cara yang lebih baik untuk mengucapkan selamat tinggal di Sukan Olimpik selain meninggalkan pintu terbuka untuk generasi akan datang," katanya.

Juara dunia lima kali itu menyertai Sukan Olimpik keenamnya setelah membuat kemunculan pertama pada temasya tersebut dengan menduduki tempat kelima di Athens pada 2004.

Lopez memenangi emas pertamanya dalam kelas 120 kg di Olimpik Beijing 2008.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudian mengulangi kejayaan itu di London 2012 dan meneruskan dominasinya apabila kelas berat dinaikkan kepada 130 kg, memenangi emas di Rio 2016, Tokyo 2020 dan kini di Paris 2024.

Menerusi pencapaian itu, Lopez mengatasi beberapa atlet yang memenangi empat pingat emas dalam satu acara.

Ia termasuk atlet lempar cakera Amerika Syarikat Al Oerter, atlet lompat jauh Carl Lewis dan perenang Michael Phelps (200 meter kuak kupu-kupu) serta Katie Ledecky yang menyertai kumpulan elit dengan emas keempat dalam acara 800m gaya bebas pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!