Kenaikan gaji: Terengganu ikut kerajaan Pusat
KUALA TERENGGANU - Kenaikan kadar gaji penjawat awam di Terengganu bergantung kepada kenaikan ditetapkan kerajaan Persekutuan yang akan dimaklumkan pada 16 Ogos ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pihaknya menunggu perincian daripada kerajaan Pusat sebelum mengkaji tindakan yang akan diambil berhubung cadangan kenaikan kadar gaji penjawat awam di negeri ini.
"Setakat ini tiada lagi perbincangan mengenai perkara tersebut (kenaikan gaji) bersama menteri besar.
"Kita akan lihat pengumuman pada 16 Ogos nanti. Kalau berdasarkan sejarah dahulu pun apa diputuskan kerajaan Pusat itu selalu kita ikut (kadar baharu kenaikan gaji).
"Selalu ikut selaras dengan pengumuman dibuat kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Wisma Darul Iman di sini.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.
Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.
Pada 15 Julai lepas, pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan.
Menerusi hantaran di laman X, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, pengumuman khas itu diadakan menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
Ketika ditanya mengenai implikasi kewangan terhadap kerajaan negeri, Tengku Farok Hussin menyatakan seluruh negeri juga menerima impak tersebut.
"Negeri-negeri lain pun sama (implikasi kewangan) bukan Terengganu sahaja. Semua negeri yang bayar gaji penjawat awam turut menerima impak tersebut.
"Insya-ALLAH...kita tengok cara yang terbaik untuk kita laksanakannya.
"Selain itu, kerajaan Persekutuan pun apabila umumkan kenaikan gaji ini, ia juga beri impak besar pada kerajaan Pusat. Jadi begitu juga kerajaan negeri.
"Sebenarnya kenaikan gaji ini beri kesan baik pada rakyat terutama dalam keadaan ekonomi dan harga barang ketika ini," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!