Sangup dipenjara bersama

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk Taman Lavender Heights, di sini, sanggup dipenjarakan demi mempertahankan Pengerusi Masjid kawasan itu, Mohd Asna Amin yang dikaitkan dengan kematian beberapa ekor anjing dipercayai akibat diracun, baru-baru ini.

Seorang penduduk, Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi berkata, mereka setia bersama menyokokng pengerusi masjid kawasan berkenaan.

"Jika pengerusi masjid kami dipenjarakan, saya juga akan ikut bersama.

"Bahkan semua penduduk taman perumahan ini minta untuk dipenjarakan sama," katanya di hadapan kira-kira 200 penduduk taman berkenaan pada sesi dialog antara penduduk dan pihak berkuasa di Senawang.

Hadir sama, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Nik Hamidah Nik Husin.

Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata, isu anjing liar di kawasan perumahan tersebut semakin serius, ditambah pula dengan sikap penduduk yang membela sehingga lika ekor anjing.

Katanya, selama 10 tahun tinggal di perumahan tersebut, beliau dan isteri sering diancam anjing liar semasa berjoging.

Malah, jelasnya, haiwan peliharaan penduduk seperti arnab dan kucing juga sering mati dipercayai dibunuh anjing liar yang berkeliaran.

Artikel Berkaitan:

"Kami kesal dengan sikap penduduk yang tidak bertimbang rasa dan tidak rasional. Buat laporan polis seolah-olah anjing dia seorang saja yang mati. bagaimana dengan kucing penduduk yang mati dikerjakan anjing. Rumah dan masjid kami dimasuki dan dicemari najis anjing, adakah nasib kami terbela?

"Kami tak kisah kalau mereka bela anjing di dalam rumah atau anjing mereka bising dan menyalak tetapi ada anjing yang menyerang dan mengancam keselamatan penduduk walaupun aduan telah banyak kali dibuat," katanya.

Sementara itu, wakil Majlis Perbandaran Seremban (MPS) berkata, pihaknya telah menangkap 8,000 ekor anjing liar di sekitar Seremban pada tahun 2016 dan 4,000 ekor lagi pada 2017 melalui dua syarikat yang dilantik menjalankan kerja-kerja tersebut.

Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan pada Julai 2017 sehingga kini selepas ada pihak mempertikaikan kuasa MPS menangkap dan melupuskan haiwan berkenaan.

Manakala Hock Poh berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan berharap tidak ada pihak yang cuba menularkan isu lagi kerana siasatan sedang berjalan.

Terdahulu, Mohd Asna yang merupakan Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights disiasat polis selepas seorang penduduk membuat laporan mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya mati akibat diberi racun awal bulan ini.

Beliau menjadi sasaran kecaman selepas perbualannya dengan penduduk berhubung isu anjing di perumahan itu menerusi aplikasi WhatsApp tular, baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!