Tertarik tawaran 90 peratus untung, warga emas rugi RM655,109

Seorang warga emas kerugian RM655,109 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan yang diiklankan menerusi aplikasi WhatsApp. - Gambar hiasan
Seorang warga emas kerugian RM655,109 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan yang diiklankan menerusi aplikasi WhatsApp. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas kerugian RM655,109 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan yang diiklankan menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, lelaki berusia 73 tahun itu membuat laporan polis pada Selasa mendakwa dia mula terjerat dengan penipuan terbabit pada 26 Jun lalu.

"Mesej WhatsApp daripada penama 'Tan Teng Boo' itu mengandungi tawaran pelaburan secara dalam talian yang menjanjikan keuntungan 90 peratus daripada modal yang dilaburkan.

"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju membuat pelaburan berkenaan dan telah melakukan sembilan transaksi ke lima akaun berbeza bermula 2 hingga 30 Julai lalu dengan nilai keseluruhan RM655,109," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak berjaya membuat pengeluaran hasil keuntungan pelaburan dan dimaklumkan akaun berkenaan telah disekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan boleh dikenakan sebatan.

"Siasatan juga meliputi penglibatan keldai akaun. Sekiranya terdapat penglibatan keldai akaun tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!