PRK DUN Mahkota: Perbincangan perlu utamakan keharmonian Kerajaan Perpaduan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Muhammad Faezuddin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Muhammad Faezuddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) demi menjaga keharmonian kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, kekosongan kerusi DUN Mahkota di Kluang telah mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin politik di negeri ini.

Bagaimanapun jelasnya, sebarang perbincangan mengenai perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota wajar ditangguhkan demi menghormati perasaan ahli keluarga penyandangnya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

"Lebih molek sekiranya kita serahkan isu kekosongan DUN Mahkota kepada pucuk pimpinan parti PH-BN demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Selepas mereka bermusyawarah, kita selaku anggota dan pimpinan di bawah ini patut menghormati apa jua keputusan yang telah diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan semua pihak mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak mahu kestabilan politik di negara ini tidak terjejas dan mahu sentiasa dipelihara dengan baik.

Justeru katanya, sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menjurus kepada perpecahan dan mengganggu-gugat pentadbiran kerajaan perlu dielakkan.

Pada Isnin, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam satu sidang akhbar di sini, mendesak pucuk pimpinan PH dan BN supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Zuhan, Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi DUN Mahkota pada 13 Ogos ini untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Ia susulan pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang merupakan calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!