Isu Zahid tersasul tak beri kesan terhadap pengundi Nenggiri - Ahmad Maslan

Laporan Sinar Harian. Ahmad Maslan (kanan).
Laporan Sinar Harian. Ahmad Maslan (kanan).
A
A
A

GUA MUSANG - Isu ketersasulan kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid yang dijadikan sebagai modal kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dijangka tidak memberi kesan kepada pengundi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau yakin orang ramai boleh menerima perkara yang tidak disengajakan itu.

"Saya percaya ia tidak beri kesan sebab orang boleh menerima dan memaafkan apabila orang tersasul.

“Kadang-kadang keletihan jadi punca tersasul. Saya tahu beliau memang letih ke sana ke mari, merasmi mesyuarat perwakilan UMNO, merasmi bermacam program selain datang ke Nenggiri lagi.

"Perkara tersasul ini, nilainya terlalu rendah untuk ditularkan kerana ia bukan diucapkan sebab ada niat,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Sungai Asap di sini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dilapor memohon maaf selepas secara tidak sengaja melaungkan sokongan untuk Israel semasa Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kesilapan berkenaan berlaku ketika beliau penuh bersemangat menyatakan dukungan terhadap isu perang yang melanda di Timur Tengah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Ahmad Zahid agak kepenatan kerana jadual yang padat hingga tersasul ketika menyampaikan ucapan.

Artikel Berkaitan:

Tegas Ahli Parlimen Pontian tersebut, perkara terbabit tidak perlu dijadikan isu kerana kehadiran Ahmad Zahid ke himpunan berkenaan jelas bagi tujuan memberi sokongan kepada umat Islam di Palestin.

"Majlis itu ialah majlis untuk Palestin, namun Ahmad Zahid yang selama ini memberi sokongan kepada Palestin ditakdirkan tersasul. Nak buat macam mana.

"Lain lah kalau majlis itu bukan majlis untuk Palestin. Tapi itu majlis Palestin," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!